HASAN  (tengah) bersama Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan  Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (dua dari kiri), Ketua Setiausaha Kementerian  Datuk Seri Alias Ahmad (kiri), Pengarah Urusan dan Presiden Bank Rakyat, Datuk Mustafha Abd Razak (dua dari kanan) dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia Datuk Nik Ali Mat Yunus di Kuala Lumpur, semalam.
HASAN (tengah) bersama Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (dua dari kiri), Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Alias Ahmad (kiri), Pengarah Urusan dan Presiden Bank Rakyat, Datuk Mustafha Abd Razak (dua dari kanan) dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia Datuk Nik Ali Mat Yunus di Kuala Lumpur, semalam.
Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Bank Rakyat mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM2.16 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 berbanding RM2.13 bilion pada tahun sebelumnya didorong sokongan mantap daripada segmen perniagaan pembiayaan yang menyumbang sebanyak 70 peratus.

Pencapaian angka itu membolehkan Bank Rakyat membuat pembayaran dividen tunai sebanyak RM450 juta atau 15 peratus kepada ahli-ahlinya yang mana peratusan itu adalah sama seperti diumumkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, Bank Rakyat terus mencatatkan peningkatan dalam semua segmen kewangannya walaupun berdepan dengan situasi persekitaran lebih mencabar dan keadaan ekonomi yang sukar berikutan kejatuhan harga komoditi dan mata wang.

Beliau berkata, keuntungan bersih turut meningkat 2.7 peratus atau RM51.26 juta kepada RM1.96 bilion berbanding RM1.91 bilion pada tahun kewangan 2013.

“Jumlah aset meningkat sebanyak 7.6 peratus tahun ke tahun kepada RM89.18 bilion berbanding RM82.88 pada tahun lalu yang mana pulangan atas aset kekal tinggi pada kadar 2.5 peratus.

“Dana pemegang saham juga meningkat 10.3 peratus atau RM1.16 bilion kepada RM12.44 bilion berbanding RM11.28 bilion pada 2013 hasil penambahan untung bersih dalam tahun semasa,” katanya pada pengumuman prestasi kewangan dan pemberian dividen Bank Rakyat pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014.

Pada 2014, Bank Rakyat mencatatkan dua peratus pembiayaan tidak berbayar (NPL) berbanding 2.2 peratus pada tahun sebelumnya dan menyasarkan 1.7 peratus penurunan sehingga 2016.

Bank koperasi itu turut menjangkakan asetnya akan berkembang pada kadar antara lima hingga enam peratus pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2015 @ 7:58 AM