Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: Bank Rakyat mencatatkan RM2.16 bilion keuntungan sebelum cukai dan zakat pada tahun kewangan berakhir Disember 2014 berbanding RM2.13 bilion yang direkodkan pada tahun sebelumnya didorong sokongan mantap daripada segmen perniagaan pembiayaan sebanyak 70 peratus.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, pencapaian positif itu turut mendorong pemberian dividen 15 peratus berjumlah RM450 juta kepada pelanggan Bank Rakyat dan peratusan itu sama seperti diumumkan pada 2013.

"Keuntungan bersih pula meningkat kepada RM1.96 bilion berbanding RM1.91 bilion pada 2013 iaitu meningkat 2.7 peratus atau RM51.26 juta yang mana ia disumbangkan oleh aktiviti pembendaharaan dan pembiayaan.

"Pendapatan kasar bagi bank kekal tinggi pada RM5.98 dimana pendapatan dari pembiayaan menyumbang sebanyak RM4.53 bilion," katanya pada pengumuman prestasi kewangan Bank Rakyat dan dividen bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2015 @ 1:18 PM