Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) mencatatkan rekod tertinggi untuk pendapatannya sebanyak RM29 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY2022).

Peningkatan pendapatan tahun ke tahun sebanyak 26 peratus berbanding RM23 bilion pada FY2021 ekoran daripada peningkatan harga produk yang lebih tinggi, di samping pengukuhan nilai Dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding Ringgit Malaysia.

Prestasi itu juga sumbangan hasil daripada pengambilalihan anak syarikat bahan kimia khusus, Perstorp Holding AB (Perstorp), baru-baru ini.

PCG memperkenalkan segmen operasi yang baharu untuk bahan kimia khusus di bawah penyata kewangan suku keempat 2022, mengikuti pengambilalihan Perstorp.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir Mohd Yusri Mohamed Yusof berkata, pengambilalihan Perstorp pada Oktober 2022 adalah pencapaian besar untuk PCG.

"Dengan kewujudan segmen bahan kimia khusus yang merangkumi Perstorp dan BRB, kini kami boleh menyertai pasaran akhir yang menarik dan berkembang pesat termasuk cat dan salutan, penjagaan diri, dan pemakanan haiwan, di samping pelbagai tawaran produk dan penyelesaian yang lestari, sejajar dengan usaha mempercepatkan pertumbuhan dan rancangan penyahkarbonan kami.

"Dalam operasi Malaysia, kami mencapai jumlah pengeluaran dan jualan lebih tinggi selaras dengan kadar penggunaan loji suku keempat 2022 kami yang mencecah 100 peratus berbanding 97 peratus pada suku ketiga 2022.

"Bagaimanapun, margin turut mengalami penurunan yang ketara pada suku terbabit ekoran daripada harga produk yang lebih rendah disebabkan permintaan global yang berkurangan, di samping kos operasi lebih tinggi.

"Walaupun mengalami ketidaktentuan dalam pasaran, PCG tetap mencapai pendapatan bersih tahunan yang membanggakan yang boleh diagihkan kepada pemegang saham kami," katanya.

Sementara itu, PCG mencapai Keuntungan Selepas Cukai (PAT) yang kukuh sebanyak RM6.3 bilion pada FY2022, walaupun 14 peratus lebih rendah tahun ke tahun, berbanding RM7.3 bilion FY2021.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 9:30 PM