MOHD Yusri
MOHD Yusri

PETRONAS Chemicals Group Bhd (PCG) memeterai satu perjanjian pembelian sekuriti bagi memperoleh 100 peratus syarikat bahan kimia khusus global berpangkalan di Sweden, Perstorp Holding AB pada 1.54 bilion euro atau RM7.02 bilion.

Perjanjian itu ditandatangani dengan Financière Forêt S.à.r.l, sebuah syarikat di bawah PAI Partners yang juga firma ekuiti swasta Eropah.

Pembelian itu meletakkan Perstorp Group pada nilai perusahaan sebanyak 2.30 bilion euro atau RM10.5 bilion.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mohd Yusri Mohamed Yusof berkata, pengambilalihan bermakna itu adalah satu pencapaian besar untuk PCG dalam mewujudkan satu platform penting untuk mempelbagaikan usahanya dalam industri bahan kimia khusus.

"Ini juga dapat menjana peluang pertumbuhan baharu yang membolehkan perniagaan kalis masa depan terhadap kitaran serta ketidaktentuan pasaran.

"Perstorp juga adalah pelengkap strategik yang mantap bagi PCG dalam membolehkan kami menyertai pasaran akhir yang menarik seperti (segmen) cat dan salutan, pembinaan, automotif, penjagaan peribadi dan makanan berkhasiat untuk haiwan dengan prospek pertumbuhan yang memberangsangkan.

"Pembelian ini akan turut membantu dari segi mendapatkan pekerja dengan kemahiran penting, serba tahu selain platform teknologi serta saluran pelanggan yang terbukti dapat menangani keperluan pasaran bagi penyelesaian lebih mampan," katanya dalam kenyataan.

PCG juga menyifatkan perjalanannya bagi mencapai matlamat sebagai syarikat kimia pilihan dengan menawarkan penyelesaian inovatif untuk pelanggan, adalah berteraskan strategi jelas yang memperkukuh portfolio petrokimia asasnya dan kepelbagaian aspek derivatif, terutama kimia khusus serta penyelesaiannya, sekali gus dapat memperkukuh pendapatan secara menyeluruh.

Langkah terbaharu ini juga menyusuli usaha pengambilalihan BRB Group pada 2019 – peneraju pengeluar bebas dan perumus silikon, bahan tambahan minyak pelincir dan bahan kimia yang membolehkan PCG menembusi bidang baharu.

"Bagi kami, pembelian Perstorp ini menarik kerana rangkaian produknya yang meluas, jumlah pelanggan yang kukuh serta kedudukannya sebagai peneraju pasaran dalam bahan kimia tertentu yang menjadi pelengkap kepada PCG," katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perstorp, Jan Secher pula yakin terhadap kemampuan kumpulan untuk berkembang dalam fasa pertumbuhan seterusnya dengan berasaskan jenama Petronas yang kukuh di peringkat global serta kekuatan PCG sebagai peneraju industri dan pasaran terkemuka di rantau Asia Pasifik.

Perstorp yang ditubuhkan sejak 140 tahun lalu terbabit dalam pembangunan penyelesaian mampan yang menumpukan pasaran resin dan salutan, cecair kejuruteraan dan makanan berkhasiat untuk haiwan.

Ia terdapat di 26 negara termasuk Amerika Syarikat, Eropah dan Asia Pasifik yang dibarisi oleh kira-kira 1,500 pekerja.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 6:10 AM