PENGARAH Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mohd Yusri Mohamed Yusof.
PENGARAH Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mohd Yusri Mohamed Yusof.

PETRONAS Chemicals Group Bhd (PCG) memberi tumpuan untuk mengembangkan portfolio kepakarannya selepas mencatatkan prestasi kukuh pada 2022 di tengah-tengah konflik geopolitik, ketidaktentuan pasaran dan cabaran industri umum.

Pengambilalihan mercu tanda ke atas Perstorp Group dari Sweden menghasilkan kepelbagaian penawaran produk kumpulan terutama untuk portfolio bahan kimia khususnya.

"Syarikat itu melancarkan kemudahan pembuatan bahan tambahan minyak pelincir baharu BRB Group di Belanda bagi berfungsi sebagai hab bahan tambahan minyak pelincir dan bahan kimia global untuk PCG.

"Selain itu, dua projek telah mencapai status Keputusan Pelaburan Akhir (FID) iaitu pembangunan loji melamin di Gurun, Kedah dan pembesaran kilang asid 2-ethylhexanoic (2-EHA) di Gebeng, Pahang," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersempena mesyuarat agung tahunan ke-25 PCG.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mohd Yusri Mohamed Yusof berkata penambahan Perstorp Group mencerminkan satu kejayaan penting, yang akan menyaksikan lebih 130 penawaran produk baharu, tujuh tapak pembuatan di seluruh dunia dan lebih 1,500 ahli baharu masuk ke dalam keluarga PCG.

"PCG juga telah menubuhkan bahagian kimia khusus baharu bagi mengurus dan mengemudi keutamaan strategik kritikal yang menyokong aspirasi jangka panjang kumpulan dalam ruang ini," katanya.

PCG juga telah meningkatkan komitmennya ke arah kemampanan pada 2022 termasuk melepasi sasaran jangka pendek untuk mengurangkan pelepasan Skop 1 dan Skop 2 GHG sebanyak 100,000 tan karbon dioksida bersamaan (tCO2e) menjelang 2024.

Melalui pelbagai usaha, seperti pengoptimuman proses dan peningkatan pemangkin, PCG telah mencapai pengurangan kumulatif lebih daripada 108,000 tCO2e setakat ini, katanya.

Di samping itu, kekuatan Perstorp dalam penyelesaian kemampanan akan mempercepatkan penciptaan nilai PCG dan perjalanan kelestarian syarikat.

Mohd Yusri berkata tahun ini, PCG akan terus menyampaikan kecemerlangan operasi serta komersial, memajukan usaha kemampanan dan meneroka peluang pertumbuhan baharu.

Pada 2022, PCG mencatatkan jumlah pengeluaran sebanyak 10.4 juta tan setahun (tpa), dan jumlah jualan sebanyak 8.3 juta tpa sambil meneruskan rekod prestasinya dalam keselamatan.

PCG mengakhiri 2022 dengan rekod hasil sebanyak RM29.0 bilion dan keuntungan selepas cukai pada paras RM6.3 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2023 @ 7:03 AM