ZAINAL Abidin (tengah) pada taklimat media Tinjauan Prestasi Perodua 2023,  semalam.
ZAINAL Abidin (tengah) pada taklimat media Tinjauan Prestasi Perodua 2023, semalam.
Oleh Lizam Ridzuan


Kuala Lumpur: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menyasarkan jualan lebih tinggi tahun ini mencecah 314,000 unit, mengatasi rekod yang dicatatkan tahun lalu sebanyak 282,019 unit.

Ia turut meletakkan sasaran jumlah pengeluaran lebih tinggi bagi tahun ini sebanyak 330,000 unit, berbanding 289,054 unit pada 2022.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, tahun ini memberi peluang keemasan kepada Perodua kerana pengguna masih mempunyai keyakinan terhadap pasaran automotif.

"Lebih separuh daripada jumlah sasaran adalah daripada tempahan tahun lalu yang dikumpul tetapi masih belum dihantar, dengan tempahan tertunggak sebanyak 220,000 unit.

"Kami juga menjangkakan penguasaan pasaran lebih tinggi sebanyak 45 peratus tahun ini berbanding 39 peratus pada tahun lalu," katanya pada taklimat media Tinjauan Prestasi Perodua 2023 di sini, semalam.

Menurutnya, Perodua memperuntukkan RM10 bilion untuk membeli alat ganti daripada pembekal tempatan bagi memenuhi sasaran untuk tahun ini.

"Komitmen pembelian ini dijangka menggalakkan lagi ekosistem automotif Malaysia untuk menambah baik keupayaan pengeluaran dan standard kualitinya.

"Secara ringkas, peningkatan dalam pengeluaran akan memberi rangsangan yang amat diperlukan buat industri tempatan untuk meningkatkan skala ekonomi serta bersaing lebih baik dengan rakan lain di luar negara," katanya.

Katanya, langkah yang diambil kumpulan akan membolehkan masa menunggu tempahan kenderaan dipendekkan sebanyak 50 peratus.

Dalam pada itu, menurutnya dari segi pasaran keseluruhan, pihaknya percaya sasaran Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) boleh melebihi 650,000 unit seperti yang diumumkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

"Berdasarkan tempoh menunggu bagi kebanyakan jenama serta permintaan yang masih kukuh untuk kenderaan Perodua, TIV berpotensi mencecah 700,000 tahun ini," katanya.

Zainal Abidin berkata, Perodua turut memperuntukkan jumlah perbelanjaan modal sebanyak (Capex) RM1.15 bilion untuk menambahbaik operasi bagi kumpulannya.

Perodua juga sedang meluaskan perniagaan Kenderaan Terpakai (POV) yang dilihat mendapat respon positif daripada orang awam selepas pelancaran Ativa Hybrid pada September 2022.

"Kami juga memperuntukkan RM537.1 juta untuk pembangunan model baharu, serta RM247.1 juta untuk memodenkan lagi operasi kami termasuk menaik taraf pusat 1S dan 2S sedia ada kepada pusat 3S.

"Untuk 2023, kami menyasarkan untuk melihat peningkatan dalam pengambilan kenderaan kepada 2.8 juta unit daripada 2.6 juta yang dicatatkan pada 2022.

"Pertumbuhan ini akan menjadi gabungan penambahbaikan dari segi tempoh masa dan ruang servis kami di seluruh negara," katanya.

Katanya, Perodua juga tidak akan menaikkan harga untuk model kenderaan sedia ada sehingga hujung tahun ini kecuali untuk model serba baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2023 @ 7:01 AM