AirAsia Berhad.
AirAsia Berhad.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: AirAsia Berhad antara 31 pemain industri yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pembangunan Sumber Manusia (HRD) Ke-20, berikutan kecemerlangan dalam pembangunan modal insan.

Anugerah HRD terbahagi kepada dua kategori dengan syarikat kumpulan penerbangan itu menerima Anugerah Menteri Sumber, selain CIMB Bank Berhad dan Malaysia Airlines Berhad.

Turut menerima anugerah sama adalah Telekom Malaysia Berhad, Tenaga Nasional Berhad, Keretapi Tanah Melayu Berhad, Alam Flora Sdn Bhd dan 7-Eleven Malaysia Sdn Bhd.

Bagi kategori Anugerah HRD Corp, sebanyak 14 pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerima anugerah antaranya Owen Mumford Sdn Bhd, Jesin Construction Sdn Bhd, Zhulian Marketing (M) Sdn Bhd dan Aspac Lubricant (M) Sdn Bhd.

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata, Anugerah HRD adalah medium terbaik untuk menilai prestasi majikan dan pemain industri dalam memperkukuh usaha pembangunan sumber manusia mereka.

Beliau berkata, kejayaan mereka menjadi penanda aras kepada syarikat lain.

"Wawasan jangka panjang Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dan maju dalam ekonomi, bergantung kepada keupayaan mengembangkan tenaga kerja dan bakat.

"Bagaimanapun, ini tidak boleh dicapai jika ia hanya dilakukan kerajaan sahaja.

"Setiap daripada pemain industri perlu memainkan peranan dan mengambil bahagian dalam pelbagai aspek untuk menyumbang kepada pembangunan modal insan," katanya selepas merasmikan Majlis Anugerah HRD ke-20 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KSM Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar dan Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp Datuk Shahul Dawood.

Sementara itu, Shahul berkata, anugerah berkenaan memainkan peranan penting dalam membentuk trend selain memudahkan pertumbuhan tenaga kerja dan bakat Malaysia sejak dua dekad lalu.

"Pemenang sebelum ini menjadi penggerak serta berjaya membawa perubahan terhadap landskap latihan dan pembangunan di negara ini," katanya.

Katanya, sejumlah 5,508 majikan berdaftar bagi dua kategori dan pemenang dipilih oleh hakim selepas semakan selama beberapa bulan, berdasarkan pendekatan inovatif dan keberkesanan terhadap pembangunan modal insan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2023 @ 8:55 AM