NAJIB  menerima buku Pelan Induk Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) bagi Pembangunan Modal Insan Tenaga Kerja Kebangsaan 2018-2025 daripada  Vignaesvaran (kanan) di Majlis Makan Malam The Future Begins Tonight di Seri Perdana, Putrajaya.
NAJIB menerima buku Pelan Induk Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) bagi Pembangunan Modal Insan Tenaga Kerja Kebangsaan 2018-2025 daripada Vignaesvaran (kanan) di Majlis Makan Malam The Future Begins Tonight di Seri Perdana, Putrajaya.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Sebagai mandat untuk memperkasa sektor buruh di Malaysia, Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) melancarkan Pelan Tindakan Pembangunan Modal Insan Tenaga Kerja Kebangsaan HRDF 2018-2025.

Pelan tindakan tenaga kerja itu diumumkan pada majlis penubuhan ‘The Dewan’ oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) di Kompleks Seri Perdana yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini.

Perdana Menteri turut melancarkan pelan tindakan yang menggariskan inisiatif strategik bagi mengenal pasti cabaran tenaga kerja yang berkaitan Industri 4.0, pendigitalan dan automasi.

Langkah ini antara lain membantu mengatasi cabaran di tempat kerja, dengan kemunculan pelbagai jenis pekerjaan baru selain pekerjaan lama mungkin tidak diperlukan lagi atau perlu banyak pembaharuan.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem berkata, pihaknya berbangga dengan pelan tindakan yang dihasilkan kerana ia menjadi langkah utama ke arah agenda pembangunan sumber manusia.

“Pelan tindakan ini selari dengan agenda pembangunan sumber manusia yang digariskan kerajaan dan saya juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana sudi melancarkannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HRDF, Datuk CM Vignaesvaran Jeyandran berkata, apabila dunia semakin terhubung dan menjadi digital, rakyat Malaysia berdepan dengan dua pilihan iaitu sama ada untuk menghadapinya atau terus ketinggalan.

“Kunci utama untuk mengharungi perubahan ini dan terus kekal relevan adalah menerusi perubahan yang dilakukan hari ini,” katanya.

Vignaesvaran berkata, Industri 4.0 yang semakin hampir ini memerlukan perubahan dalam peningkatan kemahiran, latihan semula kemahiran dan pelbagai kemahiran dalam sumber tenaga kerja.

“Menyedari kepentingan ini, HRDF bekerjasama dengan Bank Dunia untuk mengumpulkan input daripada pelbagai pihak berkepentingan mengenai amalan terbaik modal insan.

“Kami percaya bahawa pemilik perniagaan, profesional dalam bidang sumber manusia, pengamal pendidikan selain pekerja, ibu bapa dan bakat muda yang berhasrat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, dapat memanfaatkan data dan analisis yang dikongsikan,” katanya.

Perubahan dalam mekanisme dan keperluan tempat kerja ini bermakna agensi yang ditugaskan dengan pembangunan modal insan, seperti HRDF, harus lebih inovatif dan tangkas dalam menangani keperluan industri untuk tenaga kerja berkemahiran.

“Penemuan daripada kajian Bank Dunia mendapati pendaftaran dengan HRDF meningkatkan keupayaan latihan syarikat kepada 24 mata peratusan dan turut meningkatkan peratusan pekerja dilatih kepada 19 peratus.

“Ia menunjukkan bahawa firma yang mendaftar dengan HRDF mencatatkan peningkatan kadar produktiviti sekitar tiga peratus,” katanya.

HRDF kini sedang bekerjasama dengan ‘The Dewan’ sebagai Strategi Perkongsian Pintar untuk menangani peningkatan kapasiti, meningkatkan kecekapan dan kemahiran semula tenaga kerja semasa bagi cabaran baru.

Untuk maklumat lanjut, layari www.hrdf.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 1:00 AM