GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Kuala Lumpur: Telekom Malaysia Berhad (TM) baru-baru ini menerima Anugerah Jenama Majikan Terbaik Asia di World HRD Congress 2021.

Dianjurkan oleh Employer Branding Institute, World HRD Congress dan Star of the Industry Group, Asia's Best Employer Brands Awards mengiktiraf usaha organisasi di rantau Asia yang menunjukkan kecemerlangan dalam penjenamaan majikan melalui strategi, pembangunan bakat dan inovasi bakat yang efektif.

Acara itu mengumpulkan pemimpin dan profesional sumber manusia dari seluruh rantau Asia untuk membincangkan dan mengenalpasti amalan terbaik dalam bidang Sumber Manusia.

Ketua Pegawai Modal Insan TM, Sarinah Abu Bakar berkata, anugerah itu adalah bukti komitmen dan usaha TM dalam melakukan perkara yang paling penting dan memberi kesan langsung kepada perniagaan iaitu pembangunan modal insan.

"Kami sedar bahawa Sumber Manusia adalah tonggak strategik dalam memacu hasil perniagaan. Sebagai sebahagian daripada transformasi 'New TM', kami baru-baru ini memperkenalkan budaya prestasi baharu untuk membentuk semula tenaga kerja kami menjadi enjin pelaksanaan lebih kukuh yang berkhidmat dan berubah dengan cara kerja tangkas.

"Kami fokus terhadap mempersiap organisasi kami untuk masa depan (future-proofing), melabur dalam kemahiran sedia masa hadapan untuk bidang pertumbuhan baharu yang akan melonjakkan prestasi perniagaan kami ke tahap seterusnya," katanya.

Beliau berkata, ia sejajar dengan komitmen berterusan ke arah meningkatkan dan melatih semula tenaga kerja dengan kecekapan digital untuk memacu Digital Malaysia.

"Jadi anugerah ini adalah satu penghormatan kepada lebih 22,000 anggota kami yang berdedikasi dalam menjadikan TM sebagai salah satu majikan terbaik di Asia," katanya.

Menurutnya, dalam situasi yang mencabar ketika pandemik Covid- 19, TM melaksanakan polisi dan inisiatif demi keselamatan dan kesihatan tenaga kerja termasuklah aplikasi digital seperti aplikasi COVID-19@TM dan alatan digital untuk membolehkan tenaga kerja kekal berdaya tahan dan produktif dalam memberikan perkhidmatan sambungan kepada pelanggan supaya rakyat Malaysia kekal terhubung dan kekal produktif.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 November 2021 @ 11:35 AM