Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kerajaan menetapkan semua latihan peningkatan kemahiran dan kepelbagaian kemahiran diletakkan di bawah satu kementerian sahaja iaitu Kementerian Sumber Manusia yang dikendalikan oleh Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) bagi mengelakkan pertindihan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, HRD Corp bakal menggalas tanggungjawab yang lebih besar sebagai agensi pusat untuk semua program pembangunan modal insan.

Program pembangunan modal insan itu, katanya, bukan sahaja untuk golongan pekerja bahkan untuk semua warga Malaysia, selaras dengan penjenamaan baru agensi berkenaan yang sebelum ini dikenali sebagai Agensi Pembangunan Sumber Manusia (HRDF).

Ismail Sabri berkata, beliau yakin HRD Corp mampu terus menyokong visi Malaysia untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi berteraskan ekonomi digital, melalui pembangunan aset negara yang paling berharga, yakni Keluarga Malaysia sendiri.

"Ini selaras dengan aspirasi kerajaan yang termaktub dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) berteraskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

"Dua dimensi utama RMKe-12, iaitu Pemerkasaan Ekonomi dan Perekayasaan Sosial sememangnya memerlukan inisiatif yang mencipta peluang pekerjaan dan latihan kemahiran untuk segenap masyarakat.

"Usaha ini akan diterjemahkan melalui platform bersepadu atau 'single window' untuk rakyat Malaysia mencari dan memohon program pembangunan kemahiran yang ditawarkan oleh kerajaan," katanya.

ISMAIL Sabri (tengah) pada Majlis Pelancaran Jenama Baharu HRD Corp dan Platform Sehenti Kebangsaan Untuk Semua Kursus Latihan Pembangunan dan Kemahiran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. FOTO BERNAMA
ISMAIL Sabri (tengah) pada Majlis Pelancaran Jenama Baharu HRD Corp dan Platform Sehenti Kebangsaan Untuk Semua Kursus Latihan Pembangunan dan Kemahiran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. FOTO BERNAMA

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis pelancaran Jenama Baharu HRD Corp dan Platform Sehenti Kebangsaan Untuk Semua Kursus Latihan Pembangunan dan Kemahiran atau Platform Single Window untuk Program Kemahiran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar, Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp Datuk Seri Jamil Salleh dan Ketua Eksekutif HRD Corp Datuk Shahul Dawood.

Perdana Menteri berkata, platform bersepadu itu akan diakses lebih sejuta rakyat Malaysia pada tahun hadapan.

"Sebanyak 5,000 kursus akan ditawarkan oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan

dan dijangka seramai 220,000 peserta akan menyertainya dengan pembiayaan kerajaan.

"Selaras dengan misi HRD Corp untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat Malaysia dengan pembelajaran sepanjang hayat dan memenuhi keperluan pekerjaan masa hadapan,

saya berharap HRD Corp akan dapat memberikan manfaat serta impak yang besar kepada negara untuk jangka panjang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 5:31 PM