NIK Nazmi (tengah) melancarkan stesen pengecasan Hab EV Go To-U.
NIK Nazmi (tengah) melancarkan stesen pengecasan Hab EV Go To-U.

Cyberjaya: Hab Gaya Hidup EV, Go To-U untuk pemilik kenderaan elektrik (EV) pertama di Malaysia meletakkan sasaran menyediakan 10,000 unit pengecas EV di seluruh negara menjelang 2025.

Pemangku Pengarah Urusan Cyberview, Dr Mohd Hafiz Ibrahim berkata, inisiatif bebas karbon untuk sistem pengangkutan adalah fokus dan usaha berterusan.

"Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), segmen ini menyumbang 16 peratus daripada semua pelepasan karbon global.

"Cyberjaya menyokong kepada peralihan EV dalam bandar pintar dan sifar emisi pada 2025 dan menjeang 2030 menyasarkan 60 peratus kenderaan di jalan raya terdiri daripada EV," katanya.

Untuk tempoh ini terdapat 17 stesen pengecas EV di Cyberjaya dengan lebih 500 pengguna mencatatkan pengurangan karbon dioksida lebih 54,000 kilogram (kg).

Sementara itu, Pengarah Urusan REISB, Izuan Hafiz berkata, mereka berperanan sebagai barisan utama dalam mempromosikan EV dengan menyediakan produk Bekalan Peralatan EV (EVSE) yang dipercayai dan selamat ke dalam pasaran.

"Menerusi pelancaran Hab EV Go To-U ini, ia usaha ke arah mobiliti pintar selain kesedaran pengguna yang semakin meningkat untuk melindungi alam sekitar dan memberi potensi besar bagi pasaran kenderaan EV di Malaysia," katanya pada majlis memeterai perjanjian persefahaman (MoU) antara Cyberview dan Roda Emas Industries (REISB) untuk menyediakan lokasi pengecasan dan mobiliti pintar di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Menurutnya, buat masa ini terdapat lebih 900 pengecas EV di seluruh negara yang dipasang pelbagai pengendali di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 7:00 AM