DATUK Abd Hamid Hussain.
DATUK Abd Hamid Hussain.
Samadi Ahmad


Cyberjaya: Pengusaha kenderaan mikromobiliti di Cyberjaya di sini diseru menghentikan aktiviti itu serta-merta berikutan penggunaannya diharamkan kerajaan.

Ia membabitkan penggunaan moped, skuter berkuasa elektrik serta Personal Mobiliti Aids (PMA).

Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Datuk Abd Hamid Hussain menasihati orang awam dan pengunjung menghentikan aktiviti itu berikutan penggunaannya di jalan raya adalah dilarang.

Menurutnya, larang itu susulan arahan dikeluarkan Kementerian Pengangkutan (MOT) membabitkan tiga kategori mikromobiliti di atas jalan raya berkuat kuasa serta-merta.

Katanya, MPSepang sebelum ini menyokong usaha penggunaan kenderaan itu selaras Pelan Tindakan Bandar Pintar dan Rendah Karbon Cyberjaya 2030 yang menggabungkan aspek bandar pintar dan bandar rendah karbon khususnya bagi bandar Cyberjaya.

"Namun kami akur dengan keputusan MOT. Sebelum ini terdapat dua pengendali kenderaan itu namun hanya satu diberikan kebenaran manakala satu lagi di peringkat percubaan bagi menjalankan aktiviti penyewaan," katanya, semalam.

Abd Hamid berkata, pihaknya sudah mengadakan mesyuarat bersama pihak pengendali, polis dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi membincangkan perkara itu kelmarin.

"Kami sudah mengarahkan pengendali menghentikan aktiviti dengan serta- merta," katanya.

Bagaimanapun menurutnya, MPSepang akan membuat kajian dan mencari tempat khas bagi mengadakan aktiviti itu sekiranya sesuai.

"Namun moped, skuter berkuasa elektrik dan Personal Mobiliti Aids (PMA) tidak dibenarkan digunakan di kawasan taman awam serta kawasan riadah bagi menjaga keselamatan orang ramai.

"Pada peringkat awal, kebenaran penggunaan kenderaan ini bertujuan membantu memudahkan pergerakan golongan muda dan penuntut luar negara yang tinggal di kawasan ini. Ia kerana kebanyakan mereka tidak mempunyai kenderaan sendiri untuk bergerak ke pusat beli-belah serta tempat kuliah.

"Saya menasihatkan orang ramai menghentikan pengunaan kenderaan ini dan perlu mematuhi arahan kerajaan. Sekiranya masih didapati ada yang masih ingkar MPSepang akan bekerjasama dengan polis bagi mengambil tindakan.

"MPSepang juga tidak akan teragak-teragak mengambil tindakan termasuk menyita barangan pengusaha yang masih berdegil meneruskan aktiviti ini, "katanya.

Kelmarin, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong mengeluarkan arahan serta-merta larangan penggunaan kenderaan mikromobiliti di jalan raya yang dibuat menerusi pewartaan Kaedah- Kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Mikromobiliti Tertentu) 2021 (Kaedah) yang sudah berkuat kuasa pada 17 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 3:05 PM