PUSAT pengecasan EV di Cyberjaya.
PUSAT pengecasan EV di Cyberjaya.
Lizam Ridzuan


SEIRING dengan sasaran 10,000 unit pengecas EV di seluruh negara menjelang 2025, Hab Gaya Hidup EV Go To-U buat pemilik kenderaan elektrik (EV) yang pertama di Malaysia dilancarkan baru-baru ini.

Menerusi perjanjian persefahaman (MoU) di antara Cyberview dan Roda Emas Industries (REISB), ia menyediakan lokasi pengecasan, lounge dan mobiliti pintar di Cyberjaya.

Pemangku Pengarah Urusan Cyberview Dr Mohd Hafiz Ibrahim berkata, usaha bebas karbon untuk sistem pengangkutan adalah fokus dan usaha berterusan mereka.

"Untuk itu, Cyberjaya menyokong kepada peralihan EV dalam bandar pintar dan sifar emisi pada 2025. Menjelang 2030, kami menyasarkan 60 peratus kenderaan di jalan raya terdiri daripada EV," katanya.

UNIT kawalan sistem pengecasan untuk seluruh Malaysia.
UNIT kawalan sistem pengecasan untuk seluruh Malaysia.

Ketika ini, ada 17 stesen pengecas EV di Cyberjaya dengan lebih 500 pengguna yang mencatatkan pengurangan karbon dioksida lebih 54,000 kilogram (kg).

Pengarah Urusan REISB Izuan Hafiz berkata, mereka berperanan sebagai barisan utama dalam mempromosikan EV dengan menyediakan produk Bekalan Peralatan EV (EVSE) yang dipercayai dan selamat ke pasaran.

"Pelancaran Hab EV Go To-U ini adalah usaha ke arah mobiliti pintar menerusi penggunaan aplikasi selain kesedaran pengguna yang semakin meningkat untuk melindungi alam sekitar. Ia memberi potensi besar bagi pasaran kenderaan EV di Malaysia," katanya.

Pusat ini menyediakan empat tapak pengecas aliran terus (DC) CCS2 dengan keupayaan pengecasan maksimum 60kW, namun pengecasan tersedia untuk pengguna adalah 30kW.

Hab itu juga berperanan sebagai pusat kawalan keseluruhan operasi bagi lokasi pengecasan di Malaysia yang dikendalikan REISB.

MENYEDIAKAN pengecasan pantas aliran terus (DC).
MENYEDIAKAN pengecasan pantas aliran terus (DC).

Ruang lounge yang selesa juga membolehkan pengunjung berehat sambil menikmati kemudahan yang disediakan di kawasan sekitar Reka Scape, Cyberjaya.

Turut hadir Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata, insentif kerajaan untuk EV pada tahun lalu melihatkan peningkatan sekali ganda pemilikan dengan lebih 2,000 unit dicatatkan berbanding tahun sebelumnya.

"Buat masa ini, ada lebih 900 pengecas EV di seluruh negara yang dipasang oleh pelbagai pengendali di Malaysia.

"Beberapa tahun kebelakangan ini juga menyaksikan banyak pihak berkepentingan, termasuk kementerian, agensi kerajaan, universiti dan industri menyumbang kepada perkembangan EV melalui kajian dan pembangunan (R&D) teknologi, infrastruktur pelancaran, pertumbuhan industri dan lain-lain," katanya.

Menurut beliau, untuk menyokong pertumbuhan semasa dan masa depan EV daripada segi pengecasan infrastruktur, peraturan dan piawaian, Suruhanjaya Tenaga (EC) membangunkan Lesen Sistem Pengecasan EV (EVCS).

Malah, beliau mengesyorkan pengendali peralatan pengecas yang terbabit supaya segera mendapatkan lesen sah pengedaran awam untuk pemasangan sistem pengecasan EV selewat-lewatnya pada 31 Mac depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2023 @ 6:03 AM