HARGA rumah di Malaysia adalah mahal atau sukar untuk dimiliki.
HARGA rumah di Malaysia adalah mahal atau sukar untuk dimiliki.

Kuala Lumpur: Petanda tekanan kewangan di negara ini semakin jelas kelihatan ketika impak daripada Covid-19 makin mencengkam ekonomi Malaysia yang membawa kepada peningkatan kadar pengangguran serta penyusutan pendapatan.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia pada Mei lalu menunjukkan kadar pengangguran berada pada 4.5 peratus membabitkan lebih 728,000 pekerja walaupun ia turun sedikit daripada 4.6 peratus pada April lalu.

Impak ekonomi makin menular ke banyak sektor, termasuk hartanah meskipun pelbagai langkah bantuan yang diberikan serta moratorium pinjaman.

Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan Malaysia 2020 mendedahkan 20 peratus daripada golongan kumpulan berpendapatan Pertengahan 40 (M40) dengan pendapatan antara RM4,850 hingga RM10,959 beralih ke kumpulan B40 disebabkan oleh pandemik manakala mereka yang berada dalam kategori golongan teratas 20 (T20), 12.8 peratus beralih kepada kumpulan M40.

Christopher Tan, 47, adalah antara pemilik hartanah yang terpaksa menjual hartanah mereka ketika pandemik ini.

Susulan pelaksanaan sekatan perjalanan udara di peringkat global, Tan yang menetap di Singapura, kehilangan pekerjaan sebagai juruterbang pada Jun tahun lalu.

Bagi menampung kehidupan bersama isteri dan dua anak, beliau tiada pilihan kecuali menjual pangsapurinya di Cyberjaya pada Ogos lalu.

"Itu keputusan sukar, tetapi saya terpaksa lakukannya demi mendapatkan wang tunai walaupun tindakan menjual pangsapuri itu merugikan. Saya membelinya pada harga RM826,000, tetapi terpaksa dijual pada harga RM450,000," katanya.

Dalam pada itu, pada akhir tahun lalu, kadar pinjaman/pembiayaan rumah yang ditolak di Malaysia mencecah 28 peratus, demikian menurut data Bank Negara Malaysia.

Antara alasannya adalah kedudukan atau status pemohon yang sudah dibebani hutang yang banyak, rekod atau sejarah kredit yang buruk dengan lebihan atau baki pendapatan yang terhad selepas mengambil kira perbelanjaan sara hidup bulanan dan tanggung jawab kewangan semasa.

Mengikut Pusat Maklumat Hartanah Negara (NAPIC), keseluruhan sektor hartanah pada tahun lalu mencatatkan sejumlah 295,968 transaksi bernilai RM119.08 bilion iaitu susut 9.9 peratus tahun ke tahun dari segi jumlah serta penurunan nilai sebanyak 15.8 peratus berbanding 2019.

Realitinya, sebelum pandemik Covid-19, sektor hartanah pun berdepan isu lambakan rumah atau yang tidak terjual.

Malah, sudah diketahui harga rumah di Malaysia adalah mahal atau sukar untuk dimiliki dengan paras purata pendapatan gabungan faktor yang menjadikan harga berkenaan tidak menarik.

Namun, apa yang pasti, harga rumah kekal sebagai tidak mampu untuk dimiliki.

PropertyGuru Malaysia berkata, pada suku pertama tahun ini, harga hartanah secara menyeluruh turun 0.84 peratus dari suku ke suku dan 1.79 peratus dari tahun ke tahun kepada 87.86 mata indeks disebabkan kebimbangan pembeli.

NAPIC turut mendedahkan jumlah unit kediaman yang baharu dilancarkan susut dengan ketara kepada 5,919 unit pada suku pertama berbanding 14,865 unit yang direkodkan semasa suku keempat tahun lalu.

Laporan Indeks Pasaran Hartanah Malaysia (MPMI) PropertyGuru yang terkini mendedahkan keseluruhan penawaran hartanah di pasaran meningkat 34.53 peratus dari tahun ke tahun serta 11.94 peratus dari suku ke suku pada suku kedua tahun ini, dipacu oleh peningkatan rumah di pasaran sekunder.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 7:00 AM