GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Funding Societies, menjalin kerjasama dengan pengeluar kereta nasional Proton, untuk menyediakan kemudahan kredit kepada pengedar Proton bagi membiayai pembelian kereta untuk penstokan lantai (floor stocking).

Ketua Negara Funding Societies Malaysia, Chai Kien Poon berkata, permintaan untuk kenderaan persendirian menyaksikan peningkatan sejak separuh kedua 2020.

"Ini didorong kebimbangan masyarakat terhadap pengangkutan awam (impak krisis Covid-19) serta dasar kerajaan berketepatan semasa pandemik.

"Dengan fasiliti kredit pusingan Funding Societies, pengedar Proton boleh memanfaatkan pertumbuhan terbabit dengan meningkatkan inventori bagi tujuan jualan dengan meningkatkan inventori stok lantai kereta terpakai.

"Selaras dengan misi Funding Societies untuk memperluas kemudahan pembiayaan kepada PKS (perusahaan kecil dan sederhana) terpinggir yang berkelayakan kredit, kemudahan kredit pusingan ini memberikan pengalaman pembiayaan lebih lancar kepada pengedar Proton.

"Mereka boleh menggunakan kemudahan itu pada bila-bila masa dan di mana sahaja selepas pengaktifannya.

"Di samping itu, pengedar akan turut mempunyai akses kepada sistem pembiayaan rantaian bekalan dalam talian kami untuk menguruskan fasiliti pembiayaan mereka," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengurus Besar Proton Edar, Wan Ahmad Fadzli Wan Mustafa berkata, dengan peningkatan jumlah jualan Proton sejak beberapa tahun ini, pihaknya sudah melihat peningkatan transaksi jual atau tukar beli.

"Melalui kemudahan pembiayaan pengedar yang disediakan oleh Funding Societies, pengedar kami boleh membiayai pembelian penstokan lantai bagi membolehkan transaksi tukar beli," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 3:45 PM