KEMUDAHAN serba lengkap dijangka mampu  memberi perkhidmatan lebih baik kepada PKS sekali gus menarik peminat pelabur asing.
KEMUDAHAN serba lengkap dijangka mampu memberi perkhidmatan lebih baik kepada PKS sekali gus menarik peminat pelabur asing.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Funding Societies, platform pembiayaan digital perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terbesar di Asia Tenggara, meraih dana sebanyak AS$144 juta (RM605 juta).

Ia menerusi pusingan ekuiti Siri C+ terlebih langganan yang diketuai oleh dana modal teroka, Jepun SoftBank Vision Fund 2.

Selain dana teroka berkenaan, ia diraih menerusi pelabur baharu, gergasi teknologi Vietnam VNG Corporation, Rapyd Ventures; pelabur global yang berpangkalan di Asia, EDBI, Indies Capital, K3 Ventures dan Ascend Vietnam Ventures.

Syarikat itu juga menerima kemudahan pinjaman sebanyak AS$150 juta (RM630 juta) daripada institusi kewangan di seluruh Eropah, Amerika Syarikat dan Asia, di mana beberapa daripadanya sudah disalurkan sejak 2021.

Pendanaan ini menyusuli jumlah dana sebanyak AS$45 juta (RM189 juta) yang diraih dalam Siri C sebelum ini, antara 2020 dan 2021.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kelvin Teo berkata, pihaknya berbesar hati dengan kepercayaan pemegang saham baharu dan sedia ada.

"Kami menubuhkan Funding Societies untuk memperkasakan PKS dengan menyelesaikan masalah terbesar mereka iaitu akses kepada pembiayaan, terutama pembiayaan tidak bercagar.

"Satu salah faham umum ialah kami dilihat sebagai pesaing bank. Realitinya, kami bersaing dengan modal simpanan, rakan dan keluarga dan kad kredit peribadi.

"Terdapat jurang pembiayaan tidak bercagar yang besar kerana ia memerlukan kesabaran dan tumpuan atau anda berisiko kehilangan banyak wang.

"Selepas membuktikan keupayaan kredit kami yang diterajui AI (Kecerdasan Buatan) kami dalam tempoh krisis kewangan yang belum pernah berlaku sebelum ini, kami berazam untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada PKS dengan perbankan-neo (neobanking) dan mengukuhkan kehadiran kami di Asia Tenggara," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, dana terbabit turut mengukuhkan kedudukan Funding Societies sebagai peneraju pasaran pembiayaan digital.

Selain itu, ia memacu pengurusan perbelanjaannya dan perkhidmatan pembayaran perniagaan-kepada-perniagaan (B2B) untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh Asia Tenggara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Februari 2022 @ 7:00 AM