DI Malaysia Funding Societies mengagihkan lebih RM1 bilion kepada PKS dengan 50 peratus penguasaan pasaran dari segi jumlah pembiayaan yang dikeluarkan.
DI Malaysia Funding Societies mengagihkan lebih RM1 bilion kepada PKS dengan 50 peratus penguasaan pasaran dari segi jumlah pembiayaan yang dikeluarkan.

Kuala Lumpur: Dokumentasi, kos dan aspek daya maju perniagaan menjadi antara faktor menyebabkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memilih pembiayaan alternatif seperti pembiayaan antara rakan setara (P2P) atau Pendanaan Ramai Ekuiti (ECF).

Funding Societies yang juga penyedia pembiayaan P2P menyaksikan sebahagian besar PKS memilih pembiayaan alternatif kerana akses lebih cepat berikutan keperluan dokumentasi yang minimum.

Ketua Negara, Funding Societies Malaysia, Chai Kien Poon berkata, pihaknya menawarkan akses lebih pantas dengan memanfaatkan kuasa teknologi.

"Kami juga menawarkan pembiayaan jangka pendek dan fleksibel di mana PKS hanya membayar apa yang mereka perlukan," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, ketika pandemik Covid-19 berlaku, terdapat peralihan kekal dalam kalangan PKS dari segi menerima pakai penyelesaian digital termasuk pembiayaan digital.

"Ini kerana PKS terpaksa menggunakan platform dalam talian untuk menjalankan transaksi perniagaan mereka.

"Akibatnya, terdapat peningkatan dalam kesedaran dan minat dalam penyelesaian pembiayaan digital dalam kalangan PKS yang dapat dilihat daripada peningkatan dalam trafik carian dan bilangan PKS yang kami sediakan melalui saluran digital merentas kedua-dua ekonomi digital dan luar talian," katanya.

Funding Societies beroperasi di lima negara iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan Vietnam, dengan pembiayaan diberikan kepada lebih 75,000 PKS yang kurang mendapat perkhidmatan dengan jumlah pembiayaan yang dikeluarkan melebihi RM9 bilion.

Di Malaysia sahaja, pihaknya mengagihkan lebih RM1 bilion kepada PKS dengan 50 peratus penguasaan pasaran dari segi jumlah pembiayaan yang dikeluarkan.

Chai berkata, pihaknya menawarkan rangkaian luas produk pembiayaan untuk PKS dengan sektor ekonomi utama ialah perdagangan borong & runcit, pembuatan serta maklumat & komunikasi.

"Kami memberi perkhidmatan kepada semua perniagaan daripada PKS yang beroperasi di bawah lima tahun hingga matang, perniagaan tradisional yang beroperasi melebihi 20 tahun, dengan jumlah pembiayaan antara RM3,000 hingga RM5 juta," katanya.

Katanya, tahun ini pihaknya menyasarkan meningkatkan jumlah pembiayaan yang dikeluarkan dan bilangan PKS yang dibantu sehingga dua kali ganda, secara langsung menyokong beribu-ribu PKS yang kurang mendapat perkhidmatan kredit di seluruh negara.

"Untuk mencapai matlamat ini, kami berharap untuk menjalin perkongsian lebih erat dengan kerajaan dan agensinya.

"Selain itu, kami berharap untuk turut memainkan peranan penting dalam inisiatif kerajaan untuk menyokong PKS dan ini termasuk program pembiayaan atau pembiayaan untuk PKS, bantuan atau inisiatif pendigitalan.

Sementara itu, penerima pembiayaan Funding Societies, Heron Solutions menyifatkan kaedah pembiayaan P2P sangat berkesan, inovatif dan baharu.

Pengasasnya, Mohd Shafiq Aiman Zainal berkata, beliau terkejut dengan proses permohonan yang diperlukan kerana disifatkan sangat mudah dan lancar.

Selain itu, pengasas Eliqa Enterprise, Nur Atiqah Shaari berkata, proses permohonan hanya dilakukan dalam talian.

"Saya hanya menyerahkan beberapa dokumen secara digital dan pihak Funding Societies terus berhubung dengan kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2022 @ 6:00 AM