KERAJAAN sasar  bangun 500,000  rumah mampu milik menjelang 2025.
KERAJAAN sasar bangun 500,000 rumah mampu milik menjelang 2025.

DISKAUN duti setem yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2023 akan terus merangsang pasaran hartanah yang terjejas akibat kemerosotan sentimen sejak dua tahun lalu.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia (propertyguru.com.my dan iProperty.com.my), Sheldon Fernandez berkata, pihaknya juga menyasarkan untuk bekerjasama rapat dengan pemaju hartanah bagi menyediakan kediaman yang boleh diakses untuk bakal pembeli rumah, sejajar dengan sasaran kerajaan yang mahu membangunkan 500,000 rumah mampu milik menjelang 2025.

"Berkaitan ini, dapatan kajian kami menunjukkan bahawa apabila memohon program perumahan mampu milik, tiga daripada lima bakal pembeli mendapati pilihan rumah tidak menarik, terutama dalam kalangan pemilik bukan hartanah, rakyat Malaysia yang lebih muda dan berpendapatan rendah.

"Kami berharap kerajaan mengambil kira keperluan rakyat Malaysia untuk memastikan projek perumahan kos rendah yang sedang dibina tidak membazir dan seterusnya menyumbang kepada isu hartanah yang tidak terjual di negara ini," katanya yang teruja untuk melihat rumah bernilai RM358 juta yang akan dibina di bawah program Rumah Mesra Rakyat.

Selain itu, katanya, banyak lagi yang boleh dilakukan untuk menyokong pembangunan bandar hijau dan berdaya tahan.

Sehubungan itu, ia menggesa kerajaan mempertimbangkan pemberian insentif kepada pemaju untuk mengguna pakai alat pensijilan hijau yang diiktiraf bagi menggalakkan pembangunan hijau dan terus mendorong industri lain untuk memainkan peranan mereka menjadi lebih mesra alam.

Sementara itu, langkah-langkah yang diperkenalkan dalam Bajet 2023 dilihat terus meringankan beban pembeli rumah kali pertama.

Ia termasuk pengecualian duti setem 100 peratus yang diumumkan sebelum ini bagi memorandum pemindahan membabitkan kediaman berharga RM500,000 dan ke bawah sehingga akhir 2025.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Datuk NK Tong berkata, kemurahan hati kerajaan untuk mengenakan duti setem RM10 bagi pindahan yang dibuat melalui transaksi antara ahli keluarga juga dijangka memberi impak positif kepada sektor perumahan.

"Ketika ini, hanya pertukaran antara suami dan isteri diberi pengecualian 100 peratus, manakala pertukaran antara ibu bapa dan anak diberi pengecualian 50 peratus," katanya dalam kenyataan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2023 mengumumkan pengecualian duti setem akan dinaikkan kepada 75 peratus daripada 50 peratus untuk hartanah kediaman berharga melebihi RM500,000 hingga RM1 juta, dan akan berakhir menjelang 31 Disember tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 7:01 AM