RUMAH dua tingkat antara hartanah yang paling laris menerusi jumlah penjualan HOC.
RUMAH dua tingkat antara hartanah yang paling laris menerusi jumlah penjualan HOC.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Keputusan kerajaan untuk melanjutkan pengecualian duti setem sempena Kempen Pemilikan Rumah (HOC) sehingga 31 Disember depan, sememangnya ditunggu-tunggu dan disambut baik oleh orang ramai.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan perkara itu ketika siaran langsung Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+), Isnin lalu berkata, pengecualian duti setem HOC sepatutnya berakhir 31 Mei lalu dan dilanjutkan.

Mengulas mengenai perkara itu, Peguam Hartanah yang juga Timbalan Presiden, Pertubuhan Kebajikan dan Literasi Undang-undang Malaysia (K-Literasi), Salkukhairi Abd Sukor berkata, pelanjutan tempoh itu wajar memandangkan ia dapat memberi peluang kepada rakyat untuk memiliki hartanah pada harga berpatutan.

Ia membolehkan pembeli menikmati insentif pengecualian duti setem dan diskaun 10 peratus yang ditawarkan kerajaan dan pemaju.

Kata Salkukhairi, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini sedikit sebanyak menyebabkan rakyat kurang memberi tumpuan kepada pembelian hartanah sebaliknya lebih memikirkan soal kelangsungan hidup akibat banyak sektor pekerjaan yang terjejas.

PANGSAPURI servis dan pangsapuri kondominium antara jenis hartanah paling laris.
PANGSAPURI servis dan pangsapuri kondominium antara jenis hartanah paling laris.

"Namun, dengan langkah pemulihan ekonomi yang diambil kerajaan seperti perlaksanaan pelbagai bantuan dan insentif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) misalnya, pendapatan rakyat kini dilihat semakin stabil dan kuasa beli hartanah juga dilihat semakin baik.

"Jadi, apabila skim HOC dilanjutkan, ia mampu membuka lebih banyak peluang kepada rakyat untuk terus memiliki rumah mereka sendiri selain menggalakkan lebih ramai golongan muda dan mereka yang baharu pertama kali membeli rumah," katanya.

Menurut Salkukhairi, dengan tawaran insentif pengecualian duti setem dan diskaun berkenaan, pembeli rumah pertama juga dapat berjimat sehingga lebih 30 peratus daripada kos awalan pembelian rumah serta kos guaman pembelian rumah berbanding jika membeli rumah bukan melalui program HOC.

Katanya, banyak kelebihan yang diberikan kepada pembeli dan ia adalah peluang yang perlu direbut golongan muda dan pembeli rumah pertama.

"Jika lebih ramai lagi pembeli dapat membeli rumah idaman mereka, ia secara tidak langsung mampu memberi kesan positif dan merancakkan kembali industri hartanah negara," katanya.

HOC menguntungkan golongan muda dan pembeli rumah pertama.
HOC menguntungkan golongan muda dan pembeli rumah pertama.

Beliau berkata, tempoh HOC juga ada baiknya jika dilanjutkan sehingga akhir tahun hadapan.

Ini kerana ekonomi negara masih dalam fasa pemulihan dan beberapa sektor belum pulih sepenuhnya.

"Dijangkakan ekonomi negara akan semakin lebih baik menjelang tahun hadapan.

"Selain itu, kuasa beli rakyat juga dijangka semakin pulih apabila sektor besar ekonomi dibuka semula kelak," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Datuk Soam Heng Choon sebelum ini berkata, pemaju hartanah juga mahu HOC dilanjutkan sehingga akhir tahun ini.

Ia seiring usaha untuk mempercepatkan pemulihan pasaran hartanah di Malaysia.

Tinjauan yang dilakukan Rehda sebelum ini mendapati 89 peratus responden memaklumkan bahawa mereka memperoleh jualan menerusi HOC sementara 87 peratus lagi responden mengakui program itu efektif dalam menghabiskan stok lama.

"Dari 1 Jun tahun lalu hingga 28 Februari lalu, jumlah penjualan HOC mencecah RM25.65 bilion, dengan 34.354 unit kediaman terjual.

"Sebilangan besar penjualan (37 peratus) merangkumi hartanah berharga dari RM500,000 hingga RM750,000," kata Soam.

Pangsapuri servis, rumah dua tingkat dan pangsapuri kondominium muncul sebagai tiga jenis hartanah yang paling laris.

HOC dilanjutkan sehingga akhir tahun ini.
HOC dilanjutkan sehingga akhir tahun ini.

Tinjauan itu juga menunjukkan bahawa unit kediaman yang tidak terjual berkurang kepada 3,972 unit pada separuh kedua (H2) 2020 daripada 5,345 unit pada 2019.

Sementara itu, pengurus restoran, Mohd Amirul Aiman, 33, turut gembira dengan pengumuman kerajaan yang melanjutkan pengecualian duti setem sempena Kempen HOC sehingga akhir Disember depan.

Menurut Amirul, sebagai bakal pembeli rumah pertama, dia mahukan lebih penjimatan apatah lagi ketika berdepan keadaan ekonomi hari ini.

"Pengecualian duti setem yang mencecah ribuan ringgit itu sedikit sebanyak membantu golongan muda untuk mendapatkan rumah pertama.

"Terima kasih kerajaan kerana memahami dan mendengar masalah rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 7:00 AM