PENGEKALAN OPR  diputuskan berikutan inflasi secara keseluruhan menunjukkan penurunan walaupun inflasi teras berada pada tahap kekal.
PENGEKALAN OPR diputuskan berikutan inflasi secara keseluruhan menunjukkan penurunan walaupun inflasi teras berada pada tahap kekal.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus adalah langkah terbaik yang dibuat untuk menyokong ekonomi domestik berikutan jangkaan ekonomi dunia yang akan meleset tahun ini.

Penganalisis ekonomi Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, BNM mengambil langkah untuk mengekalkan OPR juga berdasarkan situasi ekonomi semasa.

Katanya, keputusan pengekalan OPR melalui mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) itu juga adalah terbaik buat masa ini kerana dasar monetari ini juga harus diselaraskan dengan dasar fiskal yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akhir Februari depan.

"Pengekalan OPR itu juga diputuskan berikutan inflasi secara keseluruhan menunjukkan penurunan walaupun inflasi teras berada pada tahap kekal, tetapi ia menunjukkan kadar kenaikan inflasi terus terkawal.

"Selain itu, nilai ringgit Malaysia yang terus kukuh berbanding dolar Amerika dan mata wang utama lain seperti dolar Singapura turut memberi ruang yang selesa untuk membuat pelarasan terbabit.

"Malah jangkaan Rizab Persekutuan (Fed AS) tidak lagi akan membuat kenaikan faedah yang besar iaitu hanya dengan kenaikan 0.25 peratus pada Disember lalu berbanding sebelum ini peningkatan 0.5 ke 1.0 peratus setiap kali kenaikan menyokong keputusan BNM mengekalkan OPR kali ini," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, semua pihak juga mahukan lebih informasi bagi prestasi ekonomi dunia dan tempatan pada suku pertama 2023.

"Ini supaya kita dapat mengunjurkan keseluruhan tahun 2023 yang dijangka berdepan kemelesetan membimbangkan pada suku pertama dan kedua tahun ini.

"Jangkaan ekonomi dunia akan meleset tahun ini turut membuatkan BNM memberi bantuan dengan mengekalkan kadar OPR bagi menyokong ekonomi domestik pada 2023 yang dijangka menjadi enjin utama ekonomi negara," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, terdapat kemungkinan OPR akan dinaikkan pada mesyuarat MPC pada Mac depan namun ia bergantung kepada situasi ekonomi waktu itu.

Semalam MPC BNM membuat keputusan mengekalkan OPR pada 2.75 peratus selepas kenaikan empat kali tahun lalu sebanyak 25 mata asas setiap kenaikan.

Sebelum ini penganalisis meramalkan OPR akan dinaikkan lagi kepada 50 mata asas bagi suku pertama tahun ini, sekali gus menjadikan OPR kepada kadar terminal baharu sebanyak 3.25 peratus, sejajar dengan standard industri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2023 @ 7:00 AM