AZMAN (kiri) dan O'Connell selepas menandatangani kerjasama strategi. FOTO ihsan PLUS
AZMAN (kiri) dan O'Connell selepas menandatangani kerjasama strategi. FOTO ihsan PLUS
Redzuan Muharam


Petaling Jaya: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Volvo Trucks Malaysia (Volvo) sepakat menjalin kerjasama dalam memacu keselamatan dan mewujudkan penyelesaian lestari bagi industri kenderaan berat di Malaysia.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail dan Pengarah Urusan Volvo Trucks Malaysia Anthony O' Connell memeterai kerjasama itu pada majlis menandatangani perjanjian di Persada PLUS baru-baru ini.

Kerjasama julung kali di antara kedua-dua organisasi itu membabitkan pertukaran kepakaran dan teknologi dalam industri serta sumber ke arah mencapai sistem yang lebih selamat untuk pengguna kenderaan berat.

Kerjasama itu juga akan memberi laluan kepada PLUS dalam merancang dan memudahkan pembangunan stesen pengecasan kenderaan elektrik untuk kenderaan komersial di lebuh raya kendaliannya.

Azman berkata, pihaknya kini sedang menyediakan pembangunan infrastruktur pengecasan yang diperlukan untuk menyokong kenderaan penumpang elektrik di lebuh raya kami.

"Ini merangkumi persediaan untuk trak elektrik dan kenderaan komersial pada masa akan datang.

"Menerusi kolaborasi ini, Volvo Trucks Malaysia juga akan memperkenalkan pengangkutan Elektromobiliti pertama di Malaysia selaras dengan usaha global mereka dalam menyokong agenda pelepasan karbon yang lebih rendah.

"PLUS komited untuk terus meningkatkan aspek keselamatan di sepanjang lebuh raya melalui pendekatan 3E yang merangkumi aspek Kejuruteraan, Penguatkuasaan dan Pendidikan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Azman, PLUS dan Volvo turut akan bekerjasama dalam membangunkan program keselamatan kenderaan berat, dengan tujuan untuk melengkapkan pemandu dengan pengetahuan keselamatan dan pengendalian kenderaan berat yang lebih baik.

Katanya, program keselamatan itu akan diperluaskan kepada ahli PLUSTrack untuk meningkatkan lagi keselamatan mereka ketika memandu di lebuh raya PLUS.

"PLUSTrack adalah program yang dibangunkan oleh PLUS untuk pelanggan kenderaan komersial dan berat di lebuh raya kami.

"Program ini bertujuan untuk membantu meningkatkan pengalaman pelanggan kenderaan komersial sambil menambah nilai melalui ganjaran kesetiaan, keistimewaan dan perkongsian pendidikan oleh rakan kongsi kami," katanya.

Menerusi satu inisiatif global Kumpulan Volvo iaitu Program Iron Women, kerjasama strategik itu akan membolehkan Volvo meningkatkan status sosio-ekonomi pemandu trak profesional di Malaysia.

Ia mendorong perkongsian saksama antara wanita dan lelaki dalam pemilikan sumber serta peranan semua jantina bagi menangani kekurangan pemandu mahir juga terlatih dalam industri.

"PLUS juga akan berkongsi program ini dengan ahli PLUSTrack sebagai sebahagian daripada sasaran Volvo kepada pelanggan kenderaan berat.

"Kami teruja untuk berada di barisan hadapan yang melakukan perubahan. Kami benar-benar berharap kerjasama dengan VOLVO Trucks Malaysia ini akan menjadi langkah positif ke arah meningkatkan keselamatan pelanggan lebuh raya dan untuk memacu elektromobiliti dalam industri kenderaan komersial," katanya

Sementara itu, Anthony berkata, industri pengangkutan sudah berkembang pada kadar yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Inovasi teknologi menggerakkan kami ke arah meningkatkan kecekapan dan piawaian keselamatan yang lebih tinggi dan Volvo Trucks berada di barisan hadapan dalam memacu kemungkinan ini.

"Potensi yang ditawarkan oleh automasi, elektromobiliti dan kesaling hubungan melalui pendigitalan sistem pengangkutan, adalah sangat besar.

"Menerusi pemilikan awal kepada akses pangkalan data industri fleet dalam peruntukan pengoperasian dan senario dunia sebenar, kami muncul sebagai peneraju utama dalam memacu penerimaan dan meningkatkan manfaat industri fleet dan kesannya kepada perniagaan secara menyeluruh," katanya.

Tambah Anthony, kelestarian menjadi kekuatan perdebatan berterusan dalam ruang mobiliti.

"Kami ingin menjelaskan bahawa Volvo Trucks bertekad untuk memacu industri kami ke arah masa depan yang lestar.

"Kami terus menjadi penyedia penyelesaian pengangkutan global yang terkemuka, dan kami akan bekerjasama dengan PLUS sebagai pengendali lebuh raya terbesar di Malaysia untuk memacu perubahan.

"Peranan kedua-dua pihak ini boleh menjadi skala sebagai teras ekosistem masa depan mobiliti Malaysia adalah penting dan kami teruja dengan apa yang akan kami cipta ke arah masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 3:26 PM