GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hajar Umira Md Zaki


Seri Kembangan: Kementerian Pengangkutan (MOT) kini merangka prosedur operasi standard (SOP) khusus bagi pembukaan sempadan negara pada April ini dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Henry Sum Agong berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif kerajaan untuk membuka kembali pintu sempadan negara kepada pelancong luar.

"Bagi pembukaan sempadan negara akan datang, kami di Kementerian Pengangkutan akan terus menggerakkan kenderaan awam yang ada dan menyokong inisiatif kerajaan membuka sempadan negara.

"Malah, menerusi pembukaan sempadan juga akan dapat merancakkan lagi ekonomi dengan kemasukan pelancong serta membantu ekonomi setempat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Edisi Kelima Ekspo Kenderaan Komersial Malaysia (MCVE) di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC), hari ini.

Pameran ini kali terakhir diadakan pada 2019 dan ini adalah pertama kali diadakan dengan penyertaan seramai 45 pempamer daripada pemain penting industri dalam dan luar negara.

Antara pempamer yang menyertai MCVE tahun ini adalah MAN Truck & Bus, Hap Seng Trucks Distribution, Caltex, Scania Malaysia, Volvo Trucks Malaysia, Petronas Steelbro, Hammar, CIMC, CAMX, YonMing dan Michelin.

"Malaysia berada dalam posisi terbaik sebagai hab pengangkutan di rantau Asia dan infrastruktur yang kita ada dibina untuk menangani cabaran pada masa depan ketika negara bergerak ke arah pelan pemulihan ekonomi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2022 @ 2:16 PM