GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Redzuan Muharam


Petaling Jaya: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan dua juta kenderaan akan menggunakan semua rangkaian lebuh rayanya pada 20 Januari, 21 Januari dan 24 Januari iaitu hari puncak bersempena dengan cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, angkaitu menunjukkan peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding jumlah trafik pada hari biasa.

"PLUS komited untuk menyediakan perjalanan yang lebih selamat dan selesa untuk orang ramai yang menggunakan rangkaian lebuh rayanya pada cuti perayaan Tahun Baharu Cina yang akan datang.

"Bagi menguruskan lonjakan trafik pada perayaan kali ini, PLUS membuat persediaan awal dan mengatur pelbagai strategi bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang lebih selamat dan lebih selesa ketika berada di rangkaian lebuh raya kami.

"Strategi itu merangkumi aspek keselamatan lebuh raya, pengurusan trafik dan kesesakan, pengagihan trafik, keselesaan pengguna, pengurusan lalu lintas di plaza tol, hebahan maklumat trafik dan sebagainya.

"Fokus kami pada perayaan hari ini adalah aspek keselamatan di lebuh raya di mana pelbagai strategi dikenal pasti dan akan dilaksanakan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Zakaria,PLUSturut mengharapkan kerjasama pengguna motosikal dan pemandu kenderaan berat supaya lebih berhati-hati dan mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya sepanjang musim perayaan yang akan datang.

Katanya, ia kerana penunggang motosikal menyumbang kepada kira-kira 64 peratus daripada keseluruhan jumlah kemalangan maut di lebuh raya PLUS pada tahun lalu.

"Manakala, kemalanganyang membabitkan kenderaan berat pula sering menyebabkan kesesakan teruk memandangkan ia memerlukan tempoh yang agak panjang untuk dialihkan dan diselesaikan selain memerlukan kehadiran juga bantuan jenteraberat seperti kren dan sebagainya.

"Oleh yang demikian, PLUS berkolaborasi bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang dan advokasi di lebuh raya pada musim perayaan ini.

"Bagi meningkatkan tahap keselamatan di rangkaian lebuh raya PLUS termasuklah di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) pada musim perayaan ini pula, jumlah pasukan peronda lebuh raya merangkumi PLUSRonda dan LPT2 Ronda akan ditambah kepada 265 pasukan bagi membantu pengguna lebuh raya yang mengalami kerosakan kenderaan atau kecemasan," katanya.

Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan 9.1 peratus berbanding hari biasa.

"Pada perayaan kali ini, PLUS akan turut mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) di Lebuhraya Utara-Selatan dan LPT2 untuk mengagihkan trafik dan membantu orang ramai merancang perjalanan mereka untuk pulang ke kampung atau kembali semula ke Lembah Klang.

"Pemandu juga dinasihatkan agar menggunakan mod pembayaran yang sama ketika masuk dan keluar dari lebuh raya. Sebagai contoh, sekiranya pengguna menggunakan mod RFID ketika masuk ke lebuh raya, mereka juga mestilah keluar dari lebuh raya melalui lorong RFID.

"Ia dapat mengelakkan mereka terkandas di lorong tol dan memberi kesan kepada perjalanan orang lain.

"PLUS juga menasihatkan orang ramai supaya memastikan baki e-Wallet(bagi transaksi RFID) danbaki kad Touch 'n Go sentiasa mencukupi untuk perjalanan mereka.

"Orang ramai juga disarankan supaya menggunakan aplikasi navigasi seperti Waze atau Google Maps untuk merancang perjalanan dengan lebih efisyen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2023 @ 4:08 PM