Dari kiri: Johan, Loo, Zafrul dan Anthony ketika pelancaran trak tugas berat Volvo FM Prime Mover elektrik (EV) di Shah Alam.
Dari kiri: Johan, Loo, Zafrul dan Anthony ketika pelancaran trak tugas berat Volvo FM Prime Mover elektrik (EV) di Shah Alam.
Oleh Lizam Ridzuan

 

Shah Alam: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) kini dalam usaha untuk menyelaraskan kaedah pertukaran bateri (battery swapping) untuk motosikal elektrik (motosikal EV) dalam pasaran negara ini.

  Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata faktor kos bateri yang tinggi menjadikan kenderaan elektrik (EV) masih kekal untuk golongan T20 namun kerajaan sentiasa mencari jalan terbaik supaya ia dapat dinikmati semua golongan.

  "Buat masa ini insentif sudah diberikan dalam bentuk percukaian namun dengan kemajuan teknologi dan skala permintaan, kos-kos bateri akan mula menurun.

  "Kami juga baru bermesyuarat dengan Kementerian Pengangkutan dan agensi berkaitan untuk membincangkan bagaimana menjadikan kos motosikal EV lebih rendah menerusi kaedah pertukaran bateri daripada pengeluar motosikal itu untuk mencapai golongan sasarnya iaitu B40 dan M40," katanya ketika ditemui dalam majlis pelancaran Prime Mover Volvo EV di sini, semalam.

  Hadir sama, Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Volvo Trucks International, Johan Selvėn; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Swift Haulage Berhad, Loo Yong Hui dan Pengarah Urusan Volvo Trucks Malaysia, Anthony O'Connell. 

  Volvo Trucks Malaysia mencatatkan sejarah tersendiri sebagai pengeluar kenderaan komersial pertama memperkenalkan Trak Elektrik Prime Mover Volvo FM di Malaysia dan Asia Tenggara yang bakal digunakan oleh syarikat Swift Haulage Berhad.

 Pembelian dua unit trak ini dengan capaian sejauh 300 kilometer (km) satu pengecasan penuh bakal digunakan untuk tujuan penghantaran logistik dari Pelabuhan Klang ke Klang dan sekitar Shah Alam buat masa ini.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 10:21 AM