INISIATIF sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh ekosistem syarikat pemula.
INISIATIF sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh ekosistem syarikat pemula.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Microsoft Malaysia dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Pusat Inovasi & Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) berganding bahu bagi mencapai sasaran melahirkan 100 Unikorn dalam kalangan syarikat pemula tempatan, menerusi inisiatif Highway to a 100 Unicorns.

Syarikat unikorn adalah syarikat baharu yang mempunyai kadar pertumbuhan perniagaan yang tinggi, khususnya dalam sektor perkhidmatan dan menjadi perhatian pemodal teroka.

Pengarah Urusan Microsoft Malaysia K Raman berkata, Malaysia mempunyai ekosistem syarikat pemula yang pesat dan syarikat ini memainkan peranan penting dalam ekonomi sebagai pelopor inovasi, penggugat dan perintis. Kami teruja berganding bahu dengan Mdec dan MaGIC untuk memperkenalkan inisiatif Highway to a 100 Unicorns di Malaysia.

"Ini sebahagian daripada komitmen bersama kami untuk memperkasakan syarikat pemula tempatan dengan teknologi dan kepakaran yang sesuai, sekali gus membolehkan mereka untuk meluaskan operasi dan mengembangkan sayap di peringkat global. Syarikat pemula tempatan kita berpotensi menjadi Unikorn masa hadapan, untuk membantu merangsang pemulihan dan ketahanan ekonomi dan membina masa depan lebih kukuh di Malaysia," katanya.

Inisiatif itu sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh ekosistem syarikat pemula (start-up) yang sedang pantas berkembang (Unikorn) dan memperkasakannya dengan bimbingan mentor, teknologi dan capaian kepada pelanggan perusahaan.

Syarikat pemula yang layak akan dapat memanfaatkan bengkel khusus dan tertumpu kepada perniagaan dan teknologi serta webinar perkongsian ilmu bulanan dengan komuniti perusahaan pemula global.

Di samping itu, peserta akhir dari Malaysia berpeluang memanfaatkan program bimbingan mentor selama setahun, capaian kepada pelanggan perusahaan dan juga peluang libat urus bersama pakar dan pemimpin industri Microsoft.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mdec, Surina Shukri berkata, Kuala Lumpur diiktiraf sebagai ekosistem permulaan ke-11 teratas di dunia oleh Startup Genome, sekali gus meningkatkan keyakinan bahawa Malaysia adalah pangkalan pilihan land and expand bagi inovator dan pemula teknologi terbaik di rantau ini.

"Komitmen syarikat seperti Microsoft mampu mengukuhkan lagi keyakinan pelabur antarabangsa dengan membawa masuk lebih banyak pengetahuan pasaran, sumber dan rangkaian pelanggan yang luas.

"Mdec komited membantu syarikat pemula teknologi tempatan dalam perjalanan pengumpulan dana dan pengembangan pasaran global mereka, serta menjalin perkongsian korporat untuk mengukuhkan kedudukan kami sebagai pusat Digital Asean," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 6:57 AM