Mohammad Hazani Hassan
Mohammad Hazani Hassan

Kuala Lumpur: Kerajaan perlu memberi fokus kepada pengukuhan ekosistem startup atau industri pemula dalam Belanjawan 2024, bagi memastikan Malaysia mampu melahirkan lebih banyak syarikat pemula persendirian, sekali gus membantu merangsang ekonomi negara.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) Mohammad Hazani Hassan berkata, langkah itu bukan sahaja membabitkan pembiayaan, tetapi haruslah dilaksanakan secara holistik untuk membantu syarikat itu bertahan.

"Ia tidak patut mengenai pembiayaan sahaja tetapi mesti fokus pada ekosistem, inkubasi, pemacu dan lebih banyak bakat, kerana kebanyakan masalah dengan syarikat teknologi ialah kita ada bakat (tapi tidak mencukupi), oleh itu kita mesti hasilkan lebih banyak bakat.

"Perkara kedua ialah penasihat. Bagaimana hendak membantu mereka ini kerana melihat kepada syarikat pemula biasanya hanya ada orang (yang mahir) teknikal. Apabila ia memasuki bidang perundangan, kewangan, tiada yang mahir. Dia tahu dia ada produk, dia ada pasaran. Tetapi bagaimana kerajaan dan agensinya mahu menyediakan (perkhidmatan) kepada keseluruhan sistem," katanya.

Mohammad turut mencadangkan kerajaan menumpukan pada program sandbox bagi membantu teknologi baharu muncul dalam mendapatkan pengesahan yang diperlukan untuk menembusi pasaran.

(Program sandbox ialah program menguji produk, perkhidmatan, model perniagaan dan mekanisme penyampaian dalam persekitaran secara langsung.)

"Program sandbox akan menjadi sangat penting, kerana untuk kita membawa masuk teknologi ke dalam pasaran kita perlu melakukan pengesahan (pengesahan teknologi dan pasaran) dan tentunya kawal selia.

"Sebaik sahaja kita mempunyai lebih banyak syarikat pemula, lebih ramai dalam industri pemula, kita boleh bawa masuk lebih banyak teknologi. Jadi ia seperti Lembah Silikon. Oleh itu, hasrat saya ialah untuk mempunyai lebih banyak syarikat pemula di Malaysia kerana dengan itu kita boleh mempunyai beberapa syarikat pemula persendirian yang baik," katanya.

Beliau berkata, bidang lain yang memerlukan perhatian kerajaan ialah teknologi makanan dan industri semikonduktor.

Sementara itu, CEO Kumpulan Meraque (Meraque) Razalee Ismail berkata, Belanjawan 2024 perlu menumpukan pada menyediakan pembiayaan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), dari segi pinjaman mudah atau geran kepada inovator dan syarikat pemula.

Beliau berkata, ini kerana sifat R&D yang sukar membabitkan masa dan kos yang boleh memberi kesan kepada daya maju teknologi baharu muncul.

CEO Bateriku (M) Sdn Bhd Azarol Faizi berharap kerajaan boleh membantu dengan mengurangkan kos mengimport susulan turun naik kadar pertukaran mata wang asing atau forex.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2023 @ 8:36 AM