AZMIN
AZMIN

KERAJAAN optimis mencapai pelaburan langsung domestik (DDI) sama seperti direkodkan tahun lalu iaitu RM97.9 bilion disokong dengan pembukaan semula ekonomi global.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya yakin selain DDI, Malaysia dapat merekodkan jumlah pelaburan diluluskan yang tinggi sekali lagi tahun ini terutama dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama.

Katanya, paling ketara dalam dua tahun kebelakangan ini, negara menyaksikan peningkatan dalam pelaburan domestik dengan lebih banyak penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro yang hebat serta perusahaan bercita-cita tinggi memenuhi keperluan syarikat multinasional (MNC).

"Tahun lalu meskipun ekonomi global masih berdepan persekitaran mencabar akibat pandemik Covid-19, kita mencatatkan pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM306.5 bilion.

"Ini petanda langkah dilaksanakan kerajaan dalam pemulihan ekonomi serta pengukuhan ekosistem pelaburan negara berhasil.

"Tahun ini, jumlah pelaburan ini dijangka dikekalkan atau lebih daripada tahun lalu," katanya selepas melancarkan Seminar Pelaburan Dalam Negeri anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di sini, semalam.

Menurutnya, jumlah pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) pada 2021 melebihi jangkaan, meningkat 83.1 peratus daripada direkodkan pada 2020.

Katanya, ini sekali gus menjadikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan menarik untuk pengembangan perniagaan global dan serantau.

Mohamed Azmin berkata, semua pihak ketika ini perlu menjalin kerjasama dan mencari strategi peluang baharu bagi pertumbuhan dan pengembangan perdagangan terutamanya DDI.

"Sumbangan DDI tahun lalu menunjukkan sumbangan kukuh kepada keseluruhan prestasi pelaburan negara, malah bagi suku pertama 2022, daripada jumlah RM42.8 bilion pelaburan diluluskan, DDI menyumbang 35 peratus berjumlah RM15 bilion," katanya.

Katanya, prospek pertumbuhan ekonomi negara juga kekal cerah dengan unjuran pertumbuhan antara 5.3 peratus dan 6.3 peratus pada 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2022 @ 7:00 AM