DARELL (tengah) bersama Dr Ong (kiri) dan Azma pada sidang media tahunan MIDA 2019, semalam.
DARELL (tengah) bersama Dr Ong (kiri) dan Azma pada sidang media tahunan MIDA 2019, semalam.
Hazwan Faisal Mohamad

KUALA Lumpur: Malaysia menarik pelaburan diluluskan bernilai RM201.7 bilion dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan sektor utama pada 2018 meningkat 0.5 peratus berbanding RM200.6 bilion pada 2017.

Dari segi jumlah projek diluluskan, semua pelaburan berkenaan membabitkan 4,887 projek yang akan mewujudkan lebih 129,700 peluang pekerjaan di Malaysia.

Pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang 60.1 peratus atau RM121.1 bilion sementara pelaburan langsung asing (FDI) mewakili 39.9 peratus atau RM80.5 bilion.

Sektor perkilangan mencatat peningkatan pelaburan tertinggi pada tahun lalu berjumlah RM87.4 bilion, naik 37.2 peratus berbanding 2017 dengan China, Indonesia, Belanda, Jepun dan Amerika Syarikat (AS) penyumbang utama kepada pelaburan dalam sektor itu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking berkata, FDI dalam projek perkilangan diluluskan pada tahun lalu meningkat lebih dua kali ganda, mencerminkan kejayaan Malaysia dalam menarik pelaburan berkualiti ke dalam negara.

Katanya, majoriti atau 69.5 peratus FDI adalah projek baharu dengan baki selebihnya membabitkan pengembangan dan mempelbagaikan projek mereka.

“Ini menunjukkan dalam pada syarikat asing sedia ada mengembang atau mempelbagaikan projek mereka di negara ini, semakin banyak pelabur antarabangsa memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan mereka.

“China, Indonesia, Belanda, Jepun dan AS penyumbang utama kepada pelaburan dalam sektor ini mewakili 76.4 peratus,” katanya pada sidang media tahunan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) 2019 bagi mengumumkan prestasi pelaburan di Malaysia pada 2018, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalannya, Dr Ong Kian Ming dan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 9:32 AM