Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz. - FOTO NSTP
Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz. - FOTO NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Jumlah eksport negara dijangka dapat mencecah sehingga RM1 trilion sehingga Ogos 2022, dipacu pelan kemampanan yang dilaksanakan Malaysia merangkumi semua peringkat perniagaan dan kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, jangkaan itu adalah berdasarkan kepada purata nilai eksport bulanan dari Januari 2022 sehingga Julai 2022.

Katanya, pelan kemampanan ini memberikan keyakinan dan meningkatkan nilai produk eksport negara kepada pelanggan luar negara terutamanya dari Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU).

"Pelan kemampanan adalah penting kerana ia bukan saja memberikan kebaikan kepada alam sekitar tetapi turut membuka pertumbuhan permintaan dari negara luar terhadap produk Malaysia.

"Pelan itu juga terbukti apabila eksport negara semakin meningkat dan terus mendapat permintaan dari negara luar," katanya selepas taklimat media pada Program Sumber Antarabangsa (INSP) sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2022) di sini, hari ini.

Pada Januari hingga Julai 2022, eksport meningkat 27.8 peratus kepada RM873.07 bilion dan import berkembang 32.5 peratus kepada RM734.51 bilion.

Mohd Mustafa berkata, selain itu Matrade menyasar mencapai jualan bernilai RM1.9 bilion bagi MIHAS 2022 sesi ke-18 yang akan berlangsung dari 7 hingga 10 September ini.

Menurutnya, Matrade turut menambah Seni dan Budaya Islam sebagai kelompok ke-13 dalam MIHAS 2022, melengkapkan kluster sedia ada terdiri daripada farmaseutikal, kewangan Islam, fesyen, media dan rekreasi, kosmetik dan penjagaan peribadi, teknologi makanan, francais, pelancongan mesra Muslim, perkhidmatan dan pendorong, pendidikan dan e-dagang.

Sementara itu, Program Sumber Antarabangsa (INSP) sempena MIHAS 2022 juga sudah mengatur mesyuarat perniagaan di antara lebih 200 pembeli antarabangsa dan lebih 300 peniagaan yang terdiri daripada pengeksport dari Malaysia.

Beliau berkata, INSP MIHAS menyaksikan lebih 1,500 pemadanan perniagaan praatur perniagaan ke perniagaan (B2B) secara fizikal.

"Mesyuarat perniagaan B2B itu termasuk mesyuarat bersama pembeli premium dari negara seperti Qatar, Arab Saudi, Amerika Syarikat, India dan Turki yang dikenal pasti menerusi 46 pejabat antarabangsa Matrade.

"Pembeli premium ini mewakili beberapa konglomerat, peruncit dan pasar raya terbesar di negara terbabit.

"Di samping itu, versi secara maya INSP MIHAS berjaya memadankan hampir 200 pembeli antarabangsa dan lebih 200 pengeksport Malaysia setakat ini, yang dijangka menjana anggaran RM43.1 juta nilai potensi urus niaga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2022 @ 3:02 PM