Tengku Zafrul (dua dari kiri), Ketua Setiausaha Miti Datuk Seri Isham Ishak (kiri), Pengerusi Matrade, Datuk Hazimah Zainiddin dan Mohd Mustafa. - FOTO NSTP
Tengku Zafrul (dua dari kiri), Ketua Setiausaha Miti Datuk Seri Isham Ishak (kiri), Pengerusi Matrade, Datuk Hazimah Zainiddin dan Mohd Mustafa. - FOTO NSTP
Sri Ayu Kartika Amri dan Dayang Pretty Abbyana Datu Asis


Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) optimis untuk mencapai transaksi jualan sebanyak RM2.1 bilion menerusi Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas 2023) edisi ke-19 yang akan berlangsung pada 12 hingga 15 September depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, pihaknya percaya nilai jualan yang disasarkan itu mampu dicapai dengan pembukaan semula sempadan China yang memberi manfaat positif kepada ekonomi negara memandangkan republik itu adalah rakan dagang utama Malaysia.

Katanya, Mihas tahun ini turut diadakan secara hibrid dan mempamerkan 1,500 tapak pameran membabitkan 13 kluster utama dari 40 negara seluruh dunia.

"Tahun lalu kami menyasarkan transaksi jualan sebanyak RM1.9 bilion sempena Mihas ke-18 dan jumlah itu berjaya melepasi sasaran dengan mencatatkan RM2.34 bilion jualan.

"Justeru, tahun ini kami menyasarkan jualan RM2.1 bilion disokong dengan penyertaan terbesar rakan dagang utama China melalui pameran fizikal dan maya.

"Selain itu, kami menyasarkan 40 negara dari seluruh dunia akan turut serta di Mihas 2023 dengan lima negara utama terbabit iaitu Thailand, China, Indonesia, India dan Korea Selatan serta 35,000 kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negara sepanjang empat hari pameran itu diadakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas prapelancaran Mihas 2023 di sini, hari ini.

Hadir merasmikan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Mohd Mustafa berkata, tahun ini pihaknya menyasarkan untuk membawa 240 pembeli fizikal dan 10 pembeli premium yang mana tahun lalu sebanyak 200 pembeli fizikal dan lima pembeli premium berjaya direkodkan melalui Program Penyumberan Antarabangsa (INSP).

Selain itu, beliau berkata menerusi Pelan Induk Industri Halal 2030 yang dilancarkan baru-baru ini, pihaknya percaya ia akan melonjakkan lagi eksport barangan halal Malaysia.

"Eksport halal Malaysia naik sebanyak 63.8 peratus kepada RM59.46 bilion pada 2022 dan seperti kita tahu Mihas adalah pameran halal terbesar dunia dan terbukti membawa lebih ramai pengimport atau pembeli yang datang dari luar negara.

"Sekiranya Pelan Induk Industri Halal 2030 ini berjalan dengan teratur, maka lonjakan itu akan dirasai oleh pemain industri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 2:23 PM