Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Malaysia bakal menerima pelaburan baharu bernilai RM16.52 bilion dari Amerika Syarikat (AS) hasil Misi Galakan Perdagangan dan Pelaburan ke Amerika Syarikat yang diketuai Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin berkata, ia antaranya membabitkan pelaburan syarikat Insulet, Ferrote, Amazon Web Services (AWS) dan Cue Health serta projek pengembangan pelaburan oleh Texas Instrument dan Boston Scientific.

Menurutnya, selain pelaburan, syarikat ini juga menyatakan komitmen mereka dalam memastikan pemindahan teknologi, mewujudkan ekosistem dan pembabitan industri tempatan khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di dalam rantaian bekalan syarikat terbabit.

"Pelaburan mereka juga akan menjana peluang pekerjaan, peluang latihan kemahiran kepada pekerja tempatan, mewujudkan kerjasama dengan universiti tempatan dan pembangunan vendor tempatan.

"Misi Galakan Perdagangan dan Pelaburan ke Amerika Syarikat bermula 9 Mei lalu sehingga 18 Mei lalu berjaya mencapai matlamat untuk memperkukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan antara dua negara ini," katanya pada Sidang Media Hasil Misi Galakan Perdagangan dan Pelaburan ke Amerika Syarikat, di sini, hari ini.

Beliau berkata, misi galakan ini tertumpu kepada sektor baharu yang berinovatif dan bernilai tambah tinggi khususnya industri semikonduktor, ekonomi digital dan sektor peranti perubatan selaras dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang memfokuskan pelaburan berkualiti tinggi dan membabitkan teknologi tinggi.

"Pada masa ini, Amerika Syarikat adalah rakan dagang global dan destinasi eksport ketiga terbesar bagi Malaysia dan sumber import keempat terbesar tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2022 @ 12:19 PM
Sidang media Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mengenai hasil misi perdagangan dan pelaburan ke Amerika Syarikat di Menara MITI. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL
Sidang media Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mengenai hasil misi perdagangan dan pelaburan ke Amerika Syarikat di Menara MITI. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL