MOHAMED Azmin (tengah) mengadakan mesyuarat dengan  Ferrotec di  San Francisco, Amerika Syarikat.
MOHAMED Azmin (tengah) mengadakan mesyuarat dengan Ferrotec di San Francisco, Amerika Syarikat.

San Francisco: Firma Ferrotec (USA) Corporation sudah menyatakan komitmen untuk membuat pelaburan baharu bernilai lebih RM500 juta di Malaysia bagi membuka kemudahan pembuatan pertamanya di Asia Tenggara.

Pembinaan yang dijangka bermula dalam masa beberapa minggu lagi, merangkumi kawasan seluas 8.13 hektar dengan kilang bersaiz 800,000 kaki persegi (74,322.43 meter persegi) di Kulim Hi-Tech Park, Kedah.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata syarikat global yang juga pembekal bahan komponen, sistem ketepatan dan peneraju fabrikasi bahan kuarza bagi industri semikonduktor di serata dunia juga komited untuk mewujudkan sejumlah 250 hingga 500 pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Malaysia.

"Mereka juga memberi komitmen untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia dalam membina rantaian bekalan dan ekosistem industri semikonduktor.

"Ini merupakan satu perkembangan yang cukup positif di mana syarikat tersebut bukan sahaja mahu membawa pelaburan ke Malaysia, tetapi (pada masa sama) ingin melihat Malaysia terus berkembang maju dalam teknologi-teknologi baharu dengan melibatkan syarikat-syarikat tempatan khususnya PKS," katanya.

Beliau yang kini dalam Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) selama 10 hari di Amerika Syarikat (AS) sejak 8 Mei lepas berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat dengan Ketua Pegawai Eksekutif Ferrotec Eiji Miyanaga di sini, semalam.

Azmin juga mencadangkan supaya Ferrotec melatih pekerja Malaysia, khususnya di kemudahan berpengkalan di AS atau Jepun dengan melibatkan penuntut atau warga Malaysia berstatus profesional yang menetap di dua negara tersebut.

Selain daripada Ferrotec, beliau turut bertemu dengan Marco Miller yang juga Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama syarikat peneraju penjejak solar, Nextracker Inc.

Katanya, Nextracker akan berusaha meningkatkan produk dari Malaysia untuk menembusi pasaran AS serta di seluruh dunia.

Sementara itu, bercakap kepada Bernama selepas pertemuan dengan Azmin, Miyanaga berkata, syarikat itu mempunyai 40 kilang di peringkat global dan kemudahan di Malaysia adalah platform pembuatan terbesarnya di luar Jepun, China serta AS.

"Kami memilih Malaysia kerana Asia Tenggara, termasuk Malaysia sudah menjadi kawasan tumpuan utama bagi rantaian bekalan industri dan ini mendorong kami untuk melabur di rantau tersebut," katanya.

Mengulas aspek penggajian, beliau berkata, syarikat turut menyasarkan untuk mengambil khidmat 250 hingga 500 pekerja tempatan dalam tempoh tiga tahun akan datang dengan matlamat untuk membolehkan kemudahan itu dikendali serta diurus rakyat negara ini.

"Syarikat mahu melabur dalam aspek tenaga kerja. Kami maklum usaha (proses) itu akan memakan masa dan bagi peringkat awal, kami akan membawa masuk pegawai dagang untuk jangka masa pendek bagi tujuan pemindahan teknologi serta melatih rakyat tempatan," katanya.

Dalam pada itu, Miller berkata, syarikat Nextracker kini menjalankan perniagaan bernilai AS$100 juta dengan dua syarikat Malaysia dan berhasrat mengembangkan usaha tersebut dalam beberapa tahun akan datang, termasuk menjadikan Malaysia sebagai rakan pembuatan utamanya.

"Kami memilih Malaysia kerana lokasi geografinya serta mempunyai barisan pekerja berkemahiran tinggi dalam menghasilkan produk syarikat ini yang berteknologi tinggi," katanya.

Menurutnya, Nextracker juga menyasarkan rakan niaga di Malaysia akan melipatgandakan jumlah pekerjanya daripada 400 orang pada masa ini dalam usaha menampung pengembangan perniagaan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 7:00 AM