Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) memperuntukkan pelaburan sebanyak RM3.43 bilion untuk membangunkan kira-kira 10 projek kediaman sepanjang tahun ini.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Steven Ng Poh berkata, pihaknya juga yakin untuk mencapai unjuran peningkatan jualan sebanyak 14 peratus tahun ini kepada RM3.4 bilion berbanding tahun lalu.

Beliau berkata, syarikat memberi tumpuan terhadap projek kediaman mampu milik kepada orang ramai dengan lokasi utama di sekitar Lembah Klang.

“Setakat 22 April 2015, Mah Sing telah mencapai jualan sebanyak RM761 juta dan kami yakin sasaran jualan tahun ini akan dapat dicapai kerana projek bercampur yang dijalankan berada di lokasi yang tepat, strategik serta ditawarkan pada harga menarik.

“Projek Greater KL dan Lembah Klang dijangka menyumbang sebanyak 67 peratus kepada jualan tahun ini, diikuti Johor (20 peratus), Pulau Pinang (11 peratus) dan Sabah (2.0 peratus),” katanya pada sidang media sempena Invest Malaysia 2015, semalam.

Menurutnya, projek yang dijangka mendapat sambutan adalah di M Residence3@Rawang iaitu kediaman dua setengah tingkat dengan keluasan 3,168 kaki persegi pada harga bermula RM500,000.

Selain itu, Festival Lakecity, Puchong dan Seremban Township Land turut menawarkan projek kediaman atas tanah menjelang separuh kedua 2015 pada harga bermula RM300,000.

Beliau berkata, antara projek lain yang akan dilancarkan adalah Lakeville Residence Taman Wahyu, D’sara Sentral Sungai Buloh, Savanna Eksekutif Suites, Ferringhi Residence 2, Southbay City, Bandar Meridin East (Johor) dan Sutera Avenue (Sabah).

“Sehingga ini, Mah Sing mempunyai 1,477.5 hektar bank tanah dengan GDV dianggarkan sebanyak RM65 bilion termasuk tanah di Puchong dan ia dijangka dimanfaatkan bagi tempoh lapan hingga 10 tahun akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2015 @ 5:02 AM