AMINUDDIN bersama Amir (tiga kanan) memotong riben sebagai gimik perasmian McDonald Kuala Pilah dan Program Komuniti Peringkat Negeri Sembilan. FOTO HASRIYASYAH SABUDIN
AMINUDDIN bersama Amir (tiga kanan) memotong riben sebagai gimik perasmian McDonald Kuala Pilah dan Program Komuniti Peringkat Negeri Sembilan. FOTO HASRIYASYAH SABUDIN
Raja Noraina Raja Rahim


RANGKAIAN restoran makanan segera terkemuka, McDonald’s Malaysia membuka cawangan baharu di Kuala Pilah.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar berkata, ia adalah restoran pertama dibuka di Kuala Pilah dan ke-13 di Negeri Sembilan.

“Pembukaan restoran pandu lalu di Kuala Pilah adalah sebahagian usaha pengembangan syarikat di Malaysia yang kini mempunyai lebih 290 restoran.

“Kita merancang membuka 450 restoran baharu di seluruh negara menjelang 2025 yang akan mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan kepada anak tempatan,” katanya.

Azmir berkata, meskipun beroperasi di luar bandar, namun dekorasi moden dengan ruang makan selesa dilengkapi pelbagai kemudahan menjadi keutamaan McDonald’s dalam menyediakan persekitaran restoran yang mesra keluarga.

Katanya, pihaknya membelanjakan lebih RM6 juta untuk pembukaan restoran berkeluasan kira-kira 600 meter persegi yang dilengkapi 100 peratus kemudahan seperti restoran di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, pihaknya melihat banyak potensi yang ada di negeri ini bukan saja di Kuala Pilah tetapi di beberapa daerah lain, sekali gus dapat menyumbang kepada perkembangan ekonomi negeri serta masyarakat setempat.

“Kita juga dalam perancangan membuka cawangan di Bahau, Tampin dan beberapa daerah lain,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian restoran itu.

Majlis perasmian disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Selain pembukaan restoran baharu itu, Azmir berkata, McDonald’s turut menyumbang RM637,200 kepada kerajaan negeri menerusi program komuniti sepanjang bulan ini sehingga Disember.

Selain itu katanya, pihaknya turut menyerahkan zakat berjumlah RM101,000, menyediakan peluang pekerjaan melalui program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) McDonald's dan mengagihkan pek ‘Kembali Ke Sekolah’ kepada 1,700 kanak-kanak di 53 sekolah seluruh negeri ini.

“Program latihan SLDN McDonald’s dilaksanakan kepada belia dari keluarga kurang berkemampuan di daerah ini.

Program latihan SLDN berteraskan industri selama 18 bulan yang mana mereka diberi latihan praktikal di restoran dan mengikuti kelas teori.

“Mereka turut diberi elaun sara hidup RM1,200 sebulan, faedah perubatan dan insurans serta makanan percuma.

“Ini dapat membantu meringankan beban golongan terbabit dan memberi peluang pekerjaan kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan kerjasama erat dengan sektor korporat, seiring matlamat mewujudkan keseimbangan sosio ekonomi negeri.

Beliau yakin kesan perkembangan sosio ekonomi itu memberi impak kepada peluang pekerjaan untuk masyarakat setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Oktober 2019 @ 3:00 PM