Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia Azmir Jaafar.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia Azmir Jaafar.
Oleh Hajar Umira Md Zaki


MCDONALD'S Malaysia mencatatkan peningkatan 10 peratus dalam pertumbuhan perniagaan pada tahun ini berbanding 2020.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia Azmir Jaafar berkata, peningkatan terbabit juga lebih tinggi berbanding 2019.

"Sebelum ini kami terpaksa menutup sehingga 20 peratus cawangan McDonald's berikutan penutupan pusat beli-belah.

"Bagaimanapun, kami bersyukur kerana masih ada perkhidmatan pandu lalu dan juga rumah kedai serta masih dibenarkan beroperasi walaupun dalam beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kami juga akan menambah 35 cawangan McDonald's di seluruh Malaysia pada tahun hadapan dan bakal membuat pelaburan sebanyak RM250 juta juga," katanya ketika menghadiri Majlis Penyampaian Zakat di McDonald's Putrajaya di sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Azmir berkata, pihaknya merancang untuk membuka 200 cawangan baharu di seluruh negara dalam tempoh lima tahun akan datang bagi memenuhi permintaan pelanggan terhadap makanan dan minuman yang ditawarkannya.

Katanya, ia dirancang untuk dibuka di lokasi yang berjauhan dari 310 restoran sedia ada.

"Bagi tujuan itu, kita dalam proses pengambilan 10,000 tenaga kerja baharu mulai sekarang," katanya. Menurutnya, ketika ini terdapat 15,000 kakitangan McDonald's Malaysia di seluruh negara.

"Rangkaian restoran McDonald's Malaysia sudah memberi perkhidmatan kepada lebih 13.5 juta pelanggan setiap bulan sejak ditubuhkan pada 1983," katanya.

Azmir memberi jaminan semua rangkaian restoran itu menyajikan makanan halal dan bersih kepada pelanggan setiap hari.

Beliau berkata, McDonald's Malaysia menubuhkan Jawatankuasa Halal Dalaman pada 2013 untuk memantau pematuhan sepenuhnya piawaian dan garis panduan penyediaan sajian makanan halal yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mengelakkan keraguan pelanggan khususnya kalangan umat Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 7:00 AM