Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary (tengah) menyaksikan Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Azmir Jaafar (kanan) menyerahkan zakat perniagaan kepada Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman ketika majlis penyampaian zakat perniagaan oleh McDonald's Malaysia di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary (tengah) menyaksikan Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Azmir Jaafar (kanan) menyerahkan zakat perniagaan kepada Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman ketika majlis penyampaian zakat perniagaan oleh McDonald's Malaysia di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
BERNAMA

Putrajaya: McDonald's Malaysia merancang untuk membuka 200 cawangan baharu di seluruh negara dalam tempoh lima tahun akan datang bagi memenuhi permintaan pelanggan terhadap makanan dan minuman yang ditawarkannya.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, Azmir Jaafar berkata cawangan itu dirancang untuk dibuka di lokasi yang berjauhan dari 310 restoran sedia ada.

"Bagi tujuan itu, kita dalam proses pengambilan 10,000 tenaga kerja baharu mulai sekarang. Ini sebagai persiapan kita," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian zakat perniagaan McDonald's Malaysia peringkat nasional 2021 di sini, pada Selasa.

Beliau berkata setakat ini terdapat 15,000 kakitangan McDonald's Malaysia di seluruh negara.

Rangkaian restoran McDonald's Malaysia telah memberi perkhidmatan kepada lebih 13.5 juta pelanggan setiap bulan sejak ditubuhkan pada 1983, katanya.

Azmir memberi jaminan kesemua rangkaian restoran itu menyajikan makanan halal dan bersih kepada pelanggan setiap hari.

Beliau berkata McDonald's Malaysia telah menubuhkan Jawatankuasa Halal Dalaman pada 2013 untuk memantau pematuhan sepenuhnya piawaian dan garis panduan penyediaan sajian makanan halal yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mengelakkan keraguan pelanggan khususnya kalangan umat Islam.

"Jawatankuasa ini menjalinkan kerjasama erat dengan petugas di Jakim bagi mendapatkan khidmat nasihat dan panduan mengenai penyediaan makanan halal, berkualiti dan bersih. Jawatankuasa ini juga bertanggungjawab melatih kakitangan untuk memahami konsep halal," katanya.

Beliau berkata Jawatankuasa Halal Dalaman itu turut menjalankan audit piawaian halal ke atas pembekal, ladang, logistik, pemprosesan dan pengilangan sebelum produk sampai ke semua rangkaian restoran itu di seluruh negara.

"Boleh dikatakan, aktiviti audit halal ini dijalankan setiap hari," katanya.

Azmir berkata McDonald's Malaysia juga menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sejak ditubuhkan 39 tahun lepas, dengan perbelanjaan berjumlah RM4 hingga RM5 juta setahun.

Program CSR itu meliputi bantuan persekolahan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik, bantuan pembedahan kepada kanak-kanak yang sumbing bibir dan lelangit serta sumbangan makanan kepada petugas barisan hadapan sejak negara dilanda pandemik Covid-19, katanya.

Beliau berkata McDonald's Malaysia menyumbang kira-kira satu juta pek makanan kepada petugas kesihatan di hospital berstatus rawatan Covid-19 dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac 2020.

McDonald's Malaysia juga mengedarkan tiga juta baucar McCafé Americano kepada individu yang menerima vaksin di 75 pusat pemberian vaksin (PPV) terpilih di seluruh negara pada September lepas.

Baucar tersebut boleh ditebus dengan mana-mana pembelian produk di semua rangkaian restoran McDonald's sehingga 31 Disember ini, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 3:42 PM