SURAT tawaran bagi inisiatif  ditandatangani oleh  Zahid Ahmad  (dua dari kanan) dan  Juanita Rusmini (dua dari kiri) sambil disaksikan  Tengku Ahmad Badli  (tiga dari kanan) dan Chen (tiga dari kiri).
SURAT tawaran bagi inisiatif ditandatangani oleh Zahid Ahmad (dua dari kanan) dan Juanita Rusmini (dua dari kiri) sambil disaksikan Tengku Ahmad Badli (tiga dari kanan) dan Chen (tiga dari kiri).

AGROBANK dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) memeterai perjanjian bagi membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat bersaiz sederhana (MSC) untuk pulih dan membangun lebih kukuh dalam fasa pemulihan di bawah Skim Jaminan Kerajaan Keluarga Malaysia.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, skim pembiayaan itu dibuka kepada kumpulan sasaran yang lebih luas iaitu kumpulan PKS dan MSC di Malaysia yang mempunyai pendapatan tahunan tidak melebihi RM250 juta.

"Skim ini dibangunkan berikutan Pakej Bantuan Pemulih yang diumumkan pada 28 Jun 2021 dengan peruntukan RM20 bilion Jaminan Kerajaan di bawah Skim Jaminan Kerajaan Pemulih (PGGS).

"Ia dibuka kepada usahawan yang memerlukan bantuan aliran tunai untuk pulih dan membangunkan semula perniagaan mereka dalam menghadapi fasa pemulihan ekonomi ekoran pandemik Covid-19 ketika ini.

"SME dan MSC yang memerlukan bantuan, boleh memohon dan mengguna pakai kemudahan pembiayaan ini untuk dijadikan modal kerja baharu atau tambahan dan/atau dijadikan modal perbelanjaan untuk membeli peralatan bagi menambah baik landskap perniagaan mereka," katanya selepas majlis menandatangani 'Surat Tawaran' pemeteraian perjanjian skim itu di antara Agrobank dan SJPP yang berlangsung baru-baru ini.

Surat Tawaran itu, ditandatangani oleh Ketua Pegawai Operasi Agrobank, Zahid Ahmad Zawawi dan Ketua Pegawai Operasi SJPP, Juanita Rusmini Abdul Jalil, disaksikan Tengku Ahmad Badli Shah dan Pegawai Utama SJPP, Chen Yin Heng serta delegasi pengurusan kanan Agrobank dan SJPP.

Menurut Tengku Ahmad Badli Shah, usahasama di antara Agrobank dan SJPP ini adalah bertepatan dengan hala tuju Bank pada tahun 2022, iaitu fokus untuk memudahkan proses pemulihan ekonomi di kalangan pemilik perniagaan dan menambahbaik sektor pertanian negara.

Beliau berkata, kerjasama antara Agrobank dan SJPP dalam membantu PKS untuk mendapat akses pembiayaan ini adalah khusus bagi syarikat yang terlibat dalam industri berasaskan pertanian dan ia adalah bertepatan kerana sektor pertanian atau khususnya sektor agro-makanan terus berkembang sebagai salah satu enjin pertumbuhan penting bagi ekonomi negara.

Katanya, masa hadapan bagi sektor pertanian bagi dekad berikutnya kelihatan lebih cerah walaupun berdepan cabaran global seperti perubahan iklim, peningkatan populasi dan kekurangan sumber.

"Antara ciri unik skim ini adalah ia telah distruktur agar lebih banyak PKS dan MSC di Malaysia akan mendapat manfaat daripada bantuan kerajaan ini, agar mereka pulih daripada perubahan dalam pendapatan dan masalah rizab tunai yang semakin berkurangan akibat pendemik Covid-19.

"Kemudahan kewangan itu bagaimanapun, tidak boleh digunakan untuk membiayai semula kemudahan sedia ada yang diberikan oleh institusi kewangan sama atau lain yang turut mengambil bahagian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 January 2022 @ 6:15 AM