Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin
Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Agrobank menerusi Kempen Bazar Ramadan 2023 menawarkan dana pembiayaan sehingga RM75,000 kepada peniaga dan pelanggan mikronya yang memerlukan bantuan kewangan bagi perniagaan berasaskan makanan sempena dengan sambutan Ramadan ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, kempen yang berlangsung sehingga 16 April ini terbuka kepada semua pelanggan baharu dan sedia ada Agrobank yang ingin berniaga di bazar Ramadan.

"Antara golongan tumpuan adalah golongan asnaf, mereka yang diberhentikan kerja serta graduan yang tidak bekerja tetapi berhasrat untuk mengusahakan perniagaan berasaskan makanan.

"Kempen ini adalah terbuka untuk mereka yang ingin mula berniaga di bazar Ramadan sempena bulan Ramadan ini, tetapi memerlukan bantuan kewangan supaya boleh berniaga.

"Selain itu, individu yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dan peniaga yang berdepan perubahan negatif ekonomi dalam perniagaan mereka juga adalah golongan fokus yang kami galakkan untuk mengambil peluang untuk memohon dan menyertai kempen ini," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, di bawah kempen ini, Agrobank menawarkan dana pembiayaan di bawah produk Pemulih NewBiz yang menawarkan had pembiayaan maksimum sehingga RM5,000 dengan tempoh pembiayaan maksimum 60 bulan termasuk enam bulan moratorium.

"Bagi yang memerlukan sokongan pembiayaan yang lebih besar boleh memohon produk Pemulih Kredit Mikro kami yang menawarkan had pembiayaan maksimum sehingga RM75,000 dengan tempoh pembiayaan maksimum 108 bulan termasuk enam moratorium," katanya.

Tengku Ahmad Badli berkata, Agrobank yakin terdapat ramai peniaga yang masih menghadapi kesukaran untuk bangkit semula daripada kesan ekonomi semasa dan juga kesan pendemik Covid-19 dua tahun lalu.

"Ada antara peniaga yang masih berada di fasa pemulihan dan mereka memerlukan bantuan 'boost' dalam bentuk kewangan untuk menambah baik kemudahan perniagaan mereka. 

"Mereka sama ada boleh memohon dana pembiayaan Pemulih NewBiz untuk membeli telefon bimbit baharu atau lain-lain keperluan untuk menjalankan perniagaan dalam talian atau boleh memohon Pemulih Kredit Mikro untuk menambah baik perniagaan dengan membeli peralatan memasak seperti mesin membuat kuih atau pembelian stok bahan mentah bagi meningkatkan produktiviti keluaran untuk memenuhi permintaan pelanggan," katanya.

Menurutnya, dengan berpandukan kepada visi bank untuk menyokong golongan kurang mendapat perhatian dan liputan, Agrobank terus memperkenalkan lebih banyak inisiatif dan program bagi menyokong masyarakat setempat khususnya untuk membantu komuniti yang kurang berkemampuan supaya terus dapat bertahan mendepani situasi semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 10:24 AM