TENGKU Zafrul
TENGKU Zafrul
BERNAMA

Kuala Lumpur: Penjana Kapital Sdn Bhd (Penjana Kapital) berjaya menarik lapan pengurus dana modal teroka (VC) dari Amerika Syarikat, Korea Selatan, Indonesia dan Singapura untuk melabur dalam syarikat permulaan Malaysia sebagai sebahagian daripada Program Dana Penjana Nasional yang bernilai RM1.2 bilion.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kelapan-lapan pengurus dana modal teroka ini dipilih dalam kalangan 51 pemohon seluruh dunia dengan saiz dana RM1.57 bilion secara keseluruhannya atau RM370 juta lebih tinggi daripada peruntukan yang diunjurkan.

"Rangsangan modal teroka ini adalah sebahagian daripada usaha meluas kerajaan untuk menambah baik persekitaran syarikat permulaan negara dan menjana lebih banyak peluang perniagaan terutama dalam sektor yang mempunyai kesan pengganda yang tinggi untuk ekonomi.

"Bagi jangka masa panjang, Penjana Kapital sudah menubuhkan Pelan Pemindahan Pengetahuan (KTP) untuk menetapkan matlamat yang jelas bagi semua peserta yang terbabit.

"Terdapat 91 KTP di bawah Penjana Kapital dan matlamatnya adalah untuk mewujudkan sekurang-kurangnya 1,800 pekerjaan berkemahiran tinggi melalui projek dalam syarikat yang dilaburkan atau pemindahan pengetahuan," kata beliau ketika berucap pada majlis Penyerahan Surat Anugerah Penjana Kapital kepada lapan pengurus dana modal teroka di sini, semalam.

Dana Penjana Nasional ini ialah program padanan funds-of-funds yang juga sebahagian daripada Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Dana modal teroka ini terbahagi kepada tahap kitaran hidup modal teroka yang berlainan iaitu dua Seed, dua siri A & B, dua Pertumbuhan dan dua tahap pembiayaan Hutang Teroka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2020 @ 7:59 AM