AMANAH Saham Nasional Berhad (ASNB). FOTO Arkib NSTP
AMANAH Saham Nasional Berhad (ASNB). FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), mengumumkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM650.73 juta untuk tiga dananya.

Ia untuk dana unit amanah harga tetap Amanah Saham Malaysia 3 (ASM 3); dana harga berubah, ASN Equity 5 dan ASN Sara (Mixed Aset Conservative) 2 (ASN Sara 2) bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2021

ASM 3, salah satu daripada enam dana harga tetap yang diuruskan ASNB, mengumumkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM593.04 juta yang memanfaatkan 525,038 pemegang unit dengan pegangan 14.83 bilion unit.

ASM 3 mencatatkan pendapatan direalisasikan bersih sebanyak RM653.27 juta bagi tahun kewangan semasa, yang menunjukkan peningkatan sebanyak 17.87 peratus berbanding tahun lalu.

ASNB dalam kenyataannya berkata, pulangan sebanyak 4.00 sen seunit ini kekal kompetitif dan mengatasi penanda aras pulangan Deposit Tetap 12 bulan Maybank pada kadar 1.85 peratus sebanyak 215 mata asas bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2021.

"ASN Equity 5 dan ASN Sara (Mixed Asset Conservative) 2 (ASN Sara 2) mencatatkan jumlah pulangan masing-masing sebanyak 11.46 peratus dan 4.04 peratus untuk tahun kewangan berakhir 30 September 2021, yang mengatasi penanda aras masing-masing sebanyak 8.66 dan 1.73 peratus," katanya.

Dengan pulangan ini, ASNB mengisytiharkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM9.80 juta kepada pemegang unit ASN Equity 5, yang bersamaan dengan 2.85 sen seunit kepada 11,202 pemegang unit dengan pegangan 343.80 juta unit.

Pemegang unit ASN Sara 2 akan menerima jumlah pembayaran agihan pendapatan sebanyak RM47.88 juta, bersamaan dengan 2.80 sen seunit kepada 42,860 pemegang unit dengan pegangan 1.71 bilion unit.

Pulangan ini adalah bersamaan dengan hasil dividen sebanyak 2.95 peratus untuk ASN Equity 5 dan 2.75 peratus untuk ASN Sara 2, berdasarkan Nilai Aset Bersih (NAB) dana pada 23 September 2021.

Pengagihan pendapatan ini diperoleh daripada dana keuntungan direalisasi, dividen dan pendapatan lain daripada pelaburan tempatan dan antarabangsa yang secara amnya didorong oleh pemulihan pasaran kewangan global dan domestik secara beransur-ansur.

Pengiraan Pengagihan Pendapatan dan Penangguhan Urus Niaga Dana Pengagihan pendapatan bagi ASM 3 dikira berdasarkan purata baki minimum bulanan sepanjang tahun kewangan, manakala untuk ASN Equity 5 dan ASN Sara 2, pengiraan berdasarkan jumlah unit yang dimiliki pada hujung tahun kewangan dana tersebut.

Pengagihan pendapatan yang diumumkan akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit dan dikreditkan secara automatik pada 1 Oktober 2021 untuk ASM 3, dan pada 2 Oktober 2021 untuk ASN Equity 5 dan ASN Sara 2.

Sementara itu, urus niaga di semua cawangan dan ejen ASNB seluruh negara sudah ditangguhkan buat sementara waktu dari 23 hingga 30 September 2021 untuk ASM 3 dan dari 29 September hingga 1 Oktober 2021 untuk ASN Equity 5 serta ASN Sara 2 bagi memudahkan pengiraan pengagihan pendapatan.

Pemegang unit boleh mengemas kini akaun mereka di www.myasnb.com.my, melalui aplikasi mudah alih myASNB, atau di mana-mana cawangan ASNB atau ejen ASNB di seluruh negara apabila urus niaga beroperasi semula pada 1 Oktober 2021 untuk ASM 3, dan 2 Oktober 2021 untuk ASN Equity 5 dan ASN Sara 2.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 5:26 PM