RUMAH teres menjadi perhatian pada separuh pertama tahun ini.
RUMAH teres menjadi perhatian pada separuh pertama tahun ini.
Hafiz Ithnin


PORTAL hartanah iProperty.com.my mengumumkan bahawa permintaan terhadap hartanah kediaman sewa di Malaysia mengalami pertumbuhan positif tahun ke tahun (YoY) pada separuh pertama tahun ini.

Ia meningkat kepada 1.9 peratus daripada 5.6 peratus pada tempoh sama tahun lalu. Berbeza pada separuh pertama tahun lalu, pertumbuhan kunjungan pengguna mengatasi pertumbuhan penyenaraian hartanah sewa enam bulan pertama tahun ini.

Pengurus Besar Penyelesaian Data Pelanggan Dan Kualiti iProperty.com.my, Premendran Pathmanathan berkata, peningkatan itu disebabkan permintaan YoY yang ketara bagi rumah teres dan apartmen servis, masing-masing pada 14.1 peratus dan lapan peratus.

"Ia adalah satu perubahan yang menarik berbanding separuh pertama tahun lalu, di mana kondominium menjadi hartanah kediaman sewa dengan permintaan tertinggi," katanya.

Jelasnya, dalam siri Analisis Permintaan Portal sebelum ini, pihaknya menyatakan bahawa pandemik menyebabkan bermulanya trend di mana pencari hartanah mencari ruang rumah yang lebih besar.

"Hasilnya, rumah teres menjadi jenis hartanah paling popular pada separuh pertama tahun ini. Lebih-lebih lagi, enam bulan pertama tahun ini terus memihak kepada penyewa kerana menyewa lebih masuk akal dari segi kewangan. Ia disebabkan komitmen bulanan yang lebih rendah berbanding membeli hartanah, terutama ketika kadar pengangguran yang tinggi.

"Namun, ramai pemilik yang terpaksa menyerap sebahagian daripada kemerosotan pendapatan ini dan menurunkan harga sewa unit mereka memandangkan terpaksa bersaing untuk menarik minat penyewa yang stabil dari segi kewangan," katanya.

Tambahnya, melihat kepada sudut positifnya pula, program vaksinasi yang berlangsung menyaksikan lebih daripada 80 peratus populasi dewasa sudah divaksin pada September lalu.

"Pengumuman kadar vaksinasi yang tinggi ini akan meningkatkan lagi keyakinan terhadap pasaran hartanah.

"Permintaan terhadap hartanah kediaman sewa di pusat bandar mulai meningkat pada separuh pertama tahun ini apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 'diringankan' dan pelbagai aktiviti ekonomi dibuka semula seperti biasa," katanya.

Premendran menambah, secara khususnya, beberapa hab perniagaan dan kediaman yang terkenal di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang mencatatkan pertumbuhan dua digit bagi permintaan YoY.

"Kawasan ini termasuk Mont Kiara, Mid Valley City dan Pusat Bandaraya KL di Kuala Lumpur dan Pulau Tikus, George Town dan Bukit Mertajam di Pulau Pinang.

"Sebaliknya kadar pengangguran terkini yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DSOM) ialah 4.8 peratus pada Jun lalu, selepas empat bulan berturut-turut mencatatkan kadar pengangguran yang rendah," katanya.

Tambahnya, masalah kewangan yang dihadapi kumpulan demografi tertentu itu mengakibatkan sebahagian pemilik hartanah terus mengalami kesukaran untuk mencari penyewa hartanah mereka.

"Hasil sewa merangkumi semua jenis hartanah kediaman turut merosot. Pada tahun lalu, pandemik Covid-19 'menyokong' pasaran penyewa selain memberikan mereka kelebihan untuk berunding harga sewaan.

"Trend ini berlanjutan hingga separuh pertama tahun ini di mana kemerosotan harga sewa adalah lebih tinggi berbanding kemerosotan harga jualan, sekali gus mengurangkan hasil sewa," katanya.

Katanya, hasil sewa untuk rumah teres merosot kepada 2.9 peratus daripada 3.3 peratus pada separuh pertama tahun lalu.

"Sementara itu, pergerakan hasil sewa untuk kondominium dan apartmen servis masing-masing merosot sebanyak 0.3 peratus dan 0.2 peratus, manakala pangsapuri kekal pada 4.4 peratus.

"Permintaan sewa YoY di Kuala Lumpur meningkat daripada 2.9 peratus kepada 2.6 peratus pada separuh pertama tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 6:43 AM