PERMINTAAN sewa hartanah negara merosot pada separuh pertama 2020 susulan pandemik Covid-19.
PERMINTAAN sewa hartanah negara merosot pada separuh pertama 2020 susulan pandemik Covid-19.
Bisnes Metro
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Permintaan sewa hartanah negara merosot 5.6 peratus dari tahun ke tahun dalam separuh pertama 2020 susulan pandemik Covid-19.

Ia berdasarkan iProperty.com.my menerusi laporan analisis permintaan hartanah separuh pertama 2020.

Menurut portal hartanah itu, pemulihan pasaran menjelang akhir separuh pertama tahun ini sudah mengurangkan kesan awal pandemik dan menyumbang ke arah penurunan keseluruhan yang lebih rendah.

Analisis itu berdasarkan kepada maklumat lawatan pengguna dan data penyenaraian hartanah kediaman dalam talian, dengan tumpuan khusus kepada Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang serta negeri Johor.

Analisis sewa yang dikatakan sebagai pertama seumpamanya di Malaysia, melihat kepada tiga jenis hartanah merangkumi rumah teres, kondominium dan kediaman servis.

"Kondominium pula adalah jenis hartanah yang paling popular dalam kalangan pencari rumah sewa dalam empat pusat tumpuan itu," katanya.

iProperty.com.my juga mendedahkan bahawa hartanah bertingkat tinggi yang berharga rendah dalam pasaran sewa mencatatkan hasil penyewaan yang lebih baik iaitu melebihi 4.0 peratus.

Ia berbanding hartanah bertanah seperti rumah teres yang mencatatkan hasil sewa sebanyak 3.43 peratus pada separuh pertama 2020.

Pengurus Besar (Penyelesaian Data Pelanggan & Kualiti) operator portal berkenaan, REA Group Asia, Premendran Pathmanathan berkata, berikutan Covid-19, ramai rakyat Malaysia lebih cenderung untuk menyewa daripada membeli.

"Akibatnya, keperluan data permintaan sewa untuk harta kediaman adalah sangat bertepatan bagi mengukur minat pengguna kerana mereka mencari pilihan perumahan yang lebih berpatutan dan fleksibel," katanya.

Selain itu katanya, kemampuan menjadi faktor terpenting dalam pasaran perumahan semasa.

Justeru katanya, sewa hartanah menyediakan penyelesaian sementara bagi keperluan perumahan dan ketersediaan data permintaan sewa.

"Ia akan berfungsi untuk membantu semua pihak berkepentingan dalam membuat keputusan yang lebih tepat (berhubung perkara ini)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2020 @ 8:15 AM