Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 3.0 hingga 4.0 peratus bagi keseluruhan tahun ini, lebih rendah berbanding unjuran awal antara 6.0 peratus hingga 7.5 peratus.

Dengan unjuran pertumbuhan berkenaan, negara dijangka mencatatkan pertumbuhan paras pra-Covid-19 pada suku keempat 2021.

Namun, sekiranya pemulihan lebih perlahan daripada dijangkakan, ekonomi negara akan mencapai paras pra-Covid-19 pada suku pertama 2022.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, semakan semula pertumbuhan itu dibuat selepas mengambil kira impak pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang menjadi pelan keluar daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (PKPP).

"Penilaian yang dibuat akan bergantung kepada pengurusan pandemik dan seberapa pantas ekonomi boleh dibuka semula dengan selamat.

"Pengukuhan pemulihan akan didominasi oleh faktor risiko Covid-19 termasuk kadar vaksinasi dan kapasiti sistem kesihatan negara dari segi penggunaan unit rawatan rapi (ICU) dan hospital.

"Kami mengandaikan semua negeri akan beralih ke Fasa 4 (PPN) pada November 2021. Berdasarkan semua ini, penilaian asas kami bagi ekonomi Malaysia ialah berkembang antara 3.0 peratus dan 4.0 peratus tahun ini.

"Ini adalah semakan semula unjuran pertumbuhan kami dan ia akan dipacu oleh pemulihan pertumbuhan eksport sejajar pemulihan permintaan global dan kitaran meningkat teknologi global," katanya pada taklimat pengarang mengenai prestasi ekonomi suku kedua 2021 semalam.

Bagaimanapun, menurutnya, Malaysia berupaya mencatatkan pertumbuhan yang tinggi daripada diunjurkan jika kadar vaksinasi pantas berterusan.

"Sekiranya jumlah individu menerima vaksin terus meningkat, ia sekali gus berjaya mengurangkan kadar penggunaan ICU serta kemasukan ke hospital dan memberikan asas yang kukuh untuk beralih ke Fasa 4 PPN.

"Jika ekonomi dibuka, ia membantu meningkatkan permintaan, yang mana akan merangsang perbelanjaan isi rumah. Jika pembukaan ekonomi lebih awal, ia akan melonjakkan permintaan secara mendadak, sekali gus memacu pemulihan berterusan," katanya.

Dalam pada itu, Nor Shamsiah dalam kenyataan hari ini berkata, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 16.1 peratus pada suku kedua 2021 berbanding -0.5 peratus pada suku pertama, disokong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang bertambah baik dan prestasi eksport yang terus mantap.

Menurutnya, pertumbuhan yang kukuh ini juga mencerminkan asas yang rendah berikutan kemerosotan aktiviti yang ketara pada suku kedua tahun 2020.

"Meskipun langkah-langkah pembendungan telah menjejaskan pertumbuhan, namun kemampuan yang tinggi untuk membuat penyesuaian terhadap sekatan dan sokongan dasar yang sedang dilaksanakan sebahagiannya telah mengurangkan kesan langkah-langkah berkenaan," katanya.

Kegiatan ekonomi meningkat pada awal suku kedua namun kemudiannya menurun berikutan pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan yang lebih ketat di seluruh negara di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh Fasa 1. Semua sektor ekonomi mencatatkan peningkatan khususnya sektor perkilangan.

Dari segi perbelanjaan, pertumbuhan dipacu oleh perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi dan aktiviti perdagangan yang kukuh.

Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi mencatatkan penurunan sebanyak 2.0 peratus berbanding 2.7 peratus pada suku pertama tahun ini, terjejas akibat langkah-langkah pembendungan yang lebih ketat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 12:44 PM