Bank Negara Malaysia
Bank Negara Malaysia
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada 1.75 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetarinya (MPC) hari ini.

MPC menyifatkan pendirian dasar monetari adalah wajar dan akomodatif selain terus komited untuk menggunakan alat-alat dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi yang berterusan.

"Berikutan keadaan pandemik yang terus tidak menentu, pendirian dasar monetari pada masa hadapan akan ditentukan oleh data dan maklumat baharu serta kesannya kepada prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri," kata BNM dalam kenyataan hari ini.

Bank pusat berkata, penularan semula kes Covid-19 dan pelaksanaan langkah-langkah pembendungan bersasar telah menjejaskan momentum pemulihan pada suku keempat 2020 dan akibatnya pertumbuhan 2020 dijangka berada pada paras lebih rendah dalam julat unjuran sebelum ini.

Bagi 2021, meskipun pertumbuhan jangka pendek dijangka menerima impak daripada pelaksanaan semula langkah pembendungan yang lebih ketat, kesannya dijangka tidak seteruk seperti yang dialami pada 2020, kata BNM.

Menurut bank pusat, trajektori pertumbuhan diunjurkan bertambah baik mulai suku kedua 2021 dan seterusnya didorong oleh permintaan global yang kembali pulih, perbelanjaan sektor awam dan swasta yang meningkat semula berikutan sokongan berterusan daripada langkah-langkah dasar serta pengeluaran lebih tinggi daripada fasiliti perkilangan dan perlombongan sedia ada dan baharu.

"Pemberian vaksin pada bulan-bulan yang akan datang juga akan meningkatkan sentimen. Risiko terhadap prospek pertumbuhan menjadi rendah masih wujud. Hal ini berpunca terutamanya daripada ketidakpastian yang berterusan mengenai pandemik dan cabaran yang akan dihadapi yang boleh menjejaskan pemberian vaksin di dalam dan luar negara," kata BNM.

Sejajar dengan penilaian sebelum ini, purata inflasi keseluruhan dijangka negatif pada 2020 terutamanya disebabkan oleh harga minyak dunia yang ketara lebih rendah, kata bank pusat.

"Bagi tahun 2021, purata inflasi keseluruhan diunjurkan meningkat disebabkan terutamanya oleh harga minyak dunia yang dijangka lebih tinggi. Inflasi asas diunjurkan kekal rendah dalam keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi. Bagaimanapun, prospek ini bergantung pada perkembangan harga minyak dunia dan komoditi," kata BNM.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 5:29 PM