Bangunan Bank Negara Malaysia.
Bangunan Bank Negara Malaysia.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus.

Pada Ogos 2019, BNM mengurangkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.0 peratus.

Pada Mac 2020, BNM mengurangkan kadar berkenaan kepada 2.50 peratus.

Bagaimanapun, pada Julai 2020, BNM mengurangkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 1.75 peratus, yang juga kali keempat untuk tahun itu serta terendah sejak 2004.

Kadar berkenaan kekal sehingga kini.

BNM dalam kenyataan berkata, pertumbuhan ekonomi global terus pulih, disokong oleh aktiviti perkilangan dan perdagangan.

"Keadaan pasaran pekerja juga telah bertambah baik di banyak negara. Bagaimanapun, beberapa negara melaksanakan semula langkah-langkah untuk mengekang penularan semula Covid-19 yang sedang berlaku. "Hal ini menyebabkan kadar pemulihan aktiviti dalam negeri terutamanya perkhidmatan menjadi sederhana sedikit," katanya.

Menurut BNM, inflasi kekal tinggi di beberapa negara, didorong oleh faktor penawaran dan permintaan.

"Pada masa hadapan, liputan pemberian vaksin yang terus meningkat, kemajuan dalam keberkesanan vaksin dan ketersediaan rawatan antiviral akan membolehkan pandemik ditangani dengan lebih baik, lantas menyokong prospek pertumbuhan global.

"Prospek pertumbuhan global akan terus dipengaruhi oleh ketidakpastian berhubung dengan kemunculan varian baharu yang membimbangkan, risiko gangguan bekalan global yang berlanjutan dan risiko volatiliti pasaran kewangan yang ketara berikutan pelarasan dasar monetari ekonomi utama," katanya.

BNM berkata, bagi Malaysia, penunjuk berfrekuensi tinggi yang terkini menunjukkan bahawa kegiatan ekonomi kembali pulih pada suku keempat, sejajar dengan pelonggaran langkah-langkah pembendungan. Katanya, bagi tahun 2021, pertumbuhan akan berada dalam julat unjuran 3.0 hingga 4.0 peratus.

"Momentum pertumbuhan dijangka semakin meningkat pada tahun 2022. Peningkatan ini dipacu oleh pengembangan permintaan global dan perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi berikutan pasaran pekerja yang bertambah baik dan sokongan dasar yang berterusan.

"Bagaimanapun, prospek risiko terhadap pertumbuhan terus cenderung ke arah pertumbuhan yang lebih

perlahan.

"Risiko-risiko ini mungkin muncul daripada pertumbuhan global yang lebih rendah daripada jangkaan, gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk dan kemunculan varian Covid-19 yang membimbangkan, serius dan kebal vaksin," katanya.

Menurutnya, inflasi keseluruhan mencatatkan purata sebanyak 2.3 peratus dari bulan Januari

hingga November 2021.

Bagi tahun 2022, inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana apabila kesan asas daripada inflasi bahan api ini luput.

"Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka meningkat sedikit apabila kegiatan ekonomi kembali normal dalam keadaan persekitaran kos yang tinggi.

"Bagaimanapun, inflasi teras dijangka sederhana dengan risiko pertumbuhan menjadi semakin tinggi dibendung oleh keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi dan dalam pasaran pekerja.

"Namun, prospek terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global berikutan risiko daripada gangguan berkaitan bekalan yang berlanjutan," katanya.

BNM berkata, MPC menyifatkan pendirian semasa dasar monetari adalah wajar dan akomodatif.

"Langkah-langkah fiskal dan kewangan akan terus mengurangkan kesan ekonomi terhadap perniagaan dan isi rumah serta memberikan sokongan kepada kegiatan ekonomi.

"Pendirian dasar monetari akan terus ditentukan oleh data baharu serta kesannya kepada prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 3:43 PM