PENGUNJUNG, Samri Muhamad  bersama anaknya, Muhammad Hafiy Najwan melakukan aktiviti riadah ketika tinjauan di Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh malam kelmarin.
PENGUNJUNG, Samri Muhamad bersama anaknya, Muhammad Hafiy Najwan melakukan aktiviti riadah ketika tinjauan di Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh malam kelmarin.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

 

Kuala Lumpur: Ekonomi Malaysia menguncup sebanyak 4.5 peratus pada suku ketiga 2021 berikutan langkah pembendungan yang ketat terutama pada Julai di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

 Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, kegiatan ekonomi kemudian meningkat apabila lebih banyak negeri beralih ke fasa 2 dengan beberapa langkah pembendungan dilonggarkan.

Katanya, dari segi penawaran, semua sektor ekonomi mencatatkan penguncupan dan sektor pembinaan mencatatkan penguncupan terbesar disebabkan oleh kapasiti operasi yang terhad.

"Dari segi perbelanjaan, permintaan dalam negeri terjejas dan menurun sebanyak 4.1 peratus suku ketiga tahun ini, disebabkan terutamanya oleh penguncupan dalam aktiviti penggunaan dan pelaburan swasta.

"Namun begitu, perbelanjaan penggunaan sektor awam yang terus meningkat memberikan sokongan kepada pertumbuhan.

"Pelonggaran langkah-langkah pembendungan secara berperingkat dan keadaan pasaran pekerja yang terus bertambah baik akan menjadi faktor penting bagi menyokong pemulihan pada masa hadapan.

  "Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi mencatatkan kemerosotan sebanyak 3.6 peratus dan inflasi keseluruhan menjadi sederhana kepada 2.2 peratus pada suku ketiga.

  "Hal ini disebabkan terutama oleh luputnya kesan asas daripada harga bahan api dan pelaksanaan diskaun bil elektrik selama tiga bulan," katanya pada pengumuman pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga 2021, semalam.

  Hadir sama, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

  Nor Shamsiah berkata, bagaimanapun ekonomi Malaysia dijangka bertambah baik berikutan kegiatan ekonomi kembali pulih pada 2021, ekonomi dalam negeri berada pada landasan untuk berkembang sebanyak 3.0 hingga 4.0 peratus.

   Beliau berkata, pertumbuhan akan disokong oleh kegiatan ekonomi yang bertambah baik memandangkan langkah pembendungan dilonggarkan secara berperingkat di samping sokongan dasar yang berterusan.

  "Pelbagai pelonggaran sekatan diberikan kepada individu yang menerima vaksin lengkap termasuk kebenaran perjalanan rentas negeri yang turut merangsang aktiviti berkaitan dengan pelancongan.

"Di samping itu, permintaan global yang kukuh akan terus menyokong pertumbuhan eksport. Menjelang tahun 2022 pula, trajektori pertumbuhan Malaysia dijangka bertambah baik berikutan penyambungan semula kegiatan ekonomi, pasaran pekerja yang terus bertambah baik, sokongan dasar yang berterusan dan pengembangan dalam permintaan luaran.

  "Kemajuan dan keberkesanan pemberian vaksin, pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) serta keupayaan untuk membendung penularan wabak dengan berkesan daripada mana-mana varian baharu Covid-19 yang membimbangkan akan menjadi kunci penting kepada pemulihan yang dihasratkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 7:00 AM