GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA

Kuala Lumpur: Kekangan perbelanjaan pengguna di Malaysia dijangka berterusan sehingga 2022 berikutan ketidaktentuan ekonomi susulan Covid-19 yang masih berlarutan, demikian kata Fitch Solutions Country Risk and Industry Research (Fitch Solutions).

Justeru, ia membuat semakan semula dengan mengurangkan unjuran pertumbuhan perbelanjaan isi rumah benar Malaysia bagi 2021 kepada 3 peratus berbanding unjuran 11 peratus sebelum ini susulan peningkatan kes Covid-19 dan pelaksanaan semula sekatan pergerakan lebih ketat.

Namun, katanya, unjuran pertumbuhan 3 peratus itu lebih baik berbanding jangkaan penguncupan 3.7 peratus pada 2020 susulan pandemik.

"Kami kekal positif terhadap pengguna Malaysia bagi 2021 walaupun terpaksa menyemak semula unjuran perbelanjaan pengguna tahun ini susulan peningkatan kes dan pelaksanaan semula sekatan terhadap pergerakan dan runcit yang tidak penting.

"Secara nominal, jumlah perbelanjaan isi rumah bernilai RM900 bilion pada 2021, rendah sedikit berbanding RM905 bilion yang dianggarkan untuk persekitaran sebelum Covid-19 pada 2019," katanya dalam nota penyelidikannya.

Fitch Solutions berkata, jualan runcit di Malaysia terus lemah pada separuh pertama 2021 dengan pertumbuhan hanya daripada asas rendah berikutan kekurangan kelonggaran ketara dalam sekatan yang memberi kesan kepada pengguna dan peruncit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 8:37 AM