BANK Islam komited memastikan pelanggannya kekal berdaya tahan.
BANK Islam komited memastikan pelanggannya kekal berdaya tahan.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) kini sudah membantu 5,251 pelanggan individu serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MPKS) dengan jumlah pembiayaan tertunggak lebih RM888 juta sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berkuat kuasa pada 1 Jun 2021.

Jumlah itu termasuk 5,166 pelanggan individu dengan pembiayaan tertunggak bernilai lebih RM603 juta, manakala 85 permohonan membabitkan jumlah keseluruhan bernilai lebih RM285 juta adalah di bawah segment MPKS.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, Bank Islam sentiasa komited memastikan pelanggan kekal berdaya tahan dalam tempoh yang tidak menentu ini.

"Kami sudah memperkenalkan pelbagai bentuk pakej bantuan bayaran balik pembiayaan sejak pandemik ini bermula.

"Ia bertujuan menyediakan bantuan kewangan yang diperlukan dalam tempoh mencabar ini.

"Di bawah program bantuan bayaran balik yang bermula Ogos 2020, Bank Islam membantu hampir 30,000 pelanggan individu dengan jumlah tertunggak RM3.74 bilion sehingga 18 Jun 2021 serta lebih 200 MPKS membabitkan lebih RM670 juta," katanya.

Industri perbankan Islam turut giat meningkatkan usaha menyokong segmen terkesan bagi menjamin kemampanan mereka sejak PKP mula diperkenalkan pada Mac 2020.

"Kami sedar akan kesan sekatan pergerakan yang berterusan ke atas perniagaan pelanggan kami, terutamanya MPKS.

"Keutamaan kami kekal untuk mengurangkan kekangan kewangan pelanggan, terutama sektor yang tidak dapat beroperasi sepanjang PKP

"Melalui bantuan moratorium, pelanggan terkesan akan mempunyai tempoh enam bulan untuk memulihkan keadaan kewangan masing-masing," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, selain bantuan bayaran mengikut keperluan, program penjadualan dan penstrukturan semula turut disediakan bagi pelanggan yang layak.

Di samping itu, Bank Islam turut proaktif dalam membantu pengusaha mikro, terutama daripada kategori asnaf dan B40.

Pelancaran program iTEKAD dan Pembiayaan Mikro BangKIT bagi segmen pelanggan ini membuktikan sokongan Bank Islam kepada penyelesaian kewangan holistik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 10:00 PM