Bank Negara Malaysia.
Bank Negara Malaysia.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Mulai esok, semua peminjam yang berhasrat memohon moratorium boleh berbuat demikian dan tiada dokumen sokongan diperlukan.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan hari ini berkata, peminjam - sama ada individu, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tidak perlu bimbang kerana permohonan untuk mendapatkan moratorium atau lain-lain pakej bayaran balik pembiayaan adalah mudah dan dokumen sokongan tidak diperlukan.

"Kelulusan akan diberikan secara automatik. Selain moratorium, bank-bank juga akan menawarkan pengurangan bayaran ansuran dan pakej-pakej lain, termasuk penjadualan semula dan penstrukturan semula

pembiayaan yang sesuai dengan kedudukan kewangan khusus peminjam.

"Peminjam boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui borang web atau e-mel automatik yang akan tersedia menerusi laman sesawang bank-bank untuk peminjam mengemukakan butiran peribadi dan pembiayaan mereka.

"Peminjam juga boleh menghubungi bank mereka melalui telefon dan panduan akan diberikan oleh

pegawai khidmat pelanggan.

"Jika peminjam tidak dapat menggunakan saluran digital, mereka juga boleh mengunjungi cawangan bank untuk menghantar permohonan moratorium," katanya.

Menurut BNM, peminjam perlu memahami bahawa dengan mengambil bantuan bayaran balik pinjaman, kos pinjaman akan meningkat secara keseluruhan kerana faedah/keuntungan akan terus terakru (diambil kira) ke atas bayaran balik pinjaman yang tertangguh.

"Bank-bank dikehendaki memberikan penerangan kepada peminjam mengenai kesan pengambilan bantuan bayaran balik pinjaman terhadap jumlah bayaran ansuran dan tempoh pembiayaan.

"Apabila peminjam memohon untuk mendapatkan bayaran ansuran yang lebih rendah (dan bukan mengekalkan bayaran ansuran yang asal) selepas moratorium, hal ini boleh menyebabkan tempoh pinjaman

mereka menjadi lebih panjang.

"Bank tidak akan mengenakan caj faedah ke atas faedah atau keuntungan atas keuntungan (iaitu faedah/keuntungan terkompaun) atau apa-apa faedah/keuntungan penalti sepanjang tempoh bantuan," katanya.

Dalam pada itu, bantuan bayaran balik pinjaman ini ditawarkan untuk pembiayaan yang diluluskan sebelum 1 Julai 2021 dan ketika permohonan dibuat, peminjam tidak mempunyai ansuran tertunggak melebihi 90 hari atau berhadapan dengan prosiding bankrap atau penggulungan (bankruptcy/winding).

BNM berkata, peminjam yang sudah berada dalam program bantuan bayaran balik pinjaman dan membayar balik pembiayaan mereka mengikut terma program terbabit juga boleh memohon moratorium ini.

Peminjam individu dan PKS yang mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman melebihi 90 hari dinasihati supaya menghubungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi mendapatkan bantuan bayaran balik pinjaman yang sesuai dan khidmat nasihat kewangan secara percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 4:56 PM