MOHD Muazzam
MOHD Muazzam

Kuala Lumpur: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) sedang membantu 108,936 akaun dengan jumlah pembiayaan tertunggak hampir RM12.63 bilion di bawah Pakej Bantuan Pembayaran Pemulih (BPP) sejak pelaksanaannya pada 7 Julai 2021.

Jumlah ini membabitkan 108,846 pelanggan individu dengan jumlah pembiayaan tertunggak RM12.6 bilion dan 90 permohonan daripada pelanggan perusahaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PMKS) dengan jumlah hampir RM29.43 juta.

Sebagai sokongan kepada pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang dilancarkan kerajaan, BPP menawarkan pilihan moratorium enam bulan atau pengurangan ansuran bulanan 50 peratus selama enam bulan kepada pelanggan yang layak.

Permohonan dibuka kepada pelanggan daripada segmen B40, M40 atau T20 serta PMKS yang terjejas akibat pandemik.

Permohonan untuk BPP masih dibuka kepada pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, pihaknya mengalu-alukan langkah yang diambil Bank Negara Malaysia (BNM) dan industri perbankan Islam dalam menangani impak Covid-19 terhadap kelangsungan hidup rakyat.

"Bantuan pembayaran ini memberikan kelonggaran kepada komitmen kewangan pelanggan buat sementara waktu dan memberi ruang agar mereka dapat menyemak semula kedudukan kewangan masing-masing.

"Bank sentiasa proaktif berurusan dengan pelanggan untuk mengenal pasti keperluan mereka serta menyediakan sokongan diperlukan bagi membantu mereka membuat keputusan bermaklumat bersesuaian dengan keadaan semasa," katanya dalam kenyataan.

Selain BPP, Bank Islam turut menawarkan program Penjadualan dan Penstrukturan yang bersesuaian dengan kehendak pelanggan bagi pelan bayaran berpatutan.

Di samping itu, PMKS yang layak juga dapat menikmati Pembiayaan Pelancongan Penjana (PTF) untuk pelanggan dalam sektor pelancongan; dan Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) untuk pelanggan dalam sektor perkhidmatan.

Katanya, baru-baru ini, pihaknya melancarkan Kemudahan Automasi dan Digitalisasi (ADF) untuk PKS yang memerlukan insentif untuk mengautomasi proses dan pendigitalan operasi supaya perniagaan yang dimiliki lebih cekap.

Malah, Bank Islam turut menawarkan Program BIC-i Balance Conversion (BBC) untuk pemegang kad kredit yang memerlukan sokongan kewangan sementara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 7:01 AM